Kuala Lumpur, 18 November – Bersempena penganjuran Urbanscapes Festival 2018, Kelab Seni Filem Malaysia dan Cinephilia meraikan pembangunan jaringan ilmu menerusi tayangan dan apresiasi filem-filem tempatan yang telah menterjemah visual naratif dan lensa sinematik bandaraya Kuala Lumpur yang melatari dimensi cerita, konflik dan emosi para penghuninya.

Menampilkan filem ikonik yang mencipta magis sinema melalui jenama filem ‘indie’ oleh gerakan ‘new wave’ karyawan muda, filem ‘Lips to Lips’ (2000) yang berkonsepkan urban drama karya dan arahan Amir Muhammad ini bernaratifkan perjalanan individu-individu di dalam latar cerita, konflik dan cabaran hidup yang berbeza yang dipertemukan melalui situasi tidak dijangka. Filem yang telah mengembara ke siri festival filem antarabangsa seperti Hawaii International Film Festival, Jeonju Film Festival dan telah memenangi anugerah Best Asian Digital Film di 14th Singapore International Film Festival (2001) lakonan James Lee, Anitha Abdul Hamid, Huzir Sulaiman, Daniel Khong, Joanna Bessy dan ramai lagi ini telah membina impak jaringan pembikin filem indie tempatan di arus global melalui suara dan perspektif karyawan muda.

Hadir sama pada sesi tayangan dan apresiasi di Urbanscapes House 2, Jalan Hang Kasturi ini ialah pengarahnya, Amir Muhammad dan pengarah teknikal dan kreatif, Isazaly Isa yang telah berkongsi secara dua hala mengenai aspirasi, falsafah, pemikiran dan pembikinan bersama khalayak dan para pencinta filem tempatan yang hadir.