Oleh : Ahmad Syazli Muhd Khiar
syazli@finas.my

“Cinta Penciptamu untuk kau cinta dirimu’-Wak Khalid

Cinta, cinta dan cinta adalah perkataan keramat yang sering diucapkan figura hebat ini semasa penulis dan rakan-rakan di Kelab Teater Universiti Islam Antarabangsa Malaysia 13 tahun yang lalu dengar tatkala berpeluang berguru dengan beliau untuk Bengkel Seni Lakon dan eksplorasi seni itu dipahatkan dengan tenang, “Kamu wajib cinta diri kamu terlebih dahulu untuk kamu cinta dan teroka seni ini”. Tidak mudah bagi penulis saat berperang dengan tuntutan disiplin dan ketegasannya berkongsi ilmu mengenali emosi, minda dan tubuh namun yang pastinya, Wak telah menjana sebuah proses pembangunan kerohanian yang akan menemukan kita dengan sebuah perjalanan komunikasi intrapersonal; belajar berinteraksi dengan akal dan kalbu di dalam diri sebelum fasa seterusnya, interpersonal bersama insan lain. “Lakonan itu kesedaran, kesedaran itu kenikmatan, kenikmatan itu kepercayaan” akan tetap penulis ingat kerana beliau tidak mahu kami menjadi sesiapa tetapi mengerakkan kami untuk menjadi apa-apa sahaja dengan sedar, nikmat dan percaya.

“Wak dan kebijaksanaanya” jawab ringkas tapi mendalam oleh penulis, pengarah dan karyawan seni dihormati Uwei HjSaari saat penulis berkongsi pengalaman berguru dengan Allahyarham Khalid Salleh ataupun sapaanya Wak Khalid dan eksplorasi seni lakon beliau akan penulis kupas dari kacamata komunikasi interpersonal ini sendiri bagi meneroka dimensi Wak sebagai aktor berilmu yang berjaya menterjemahkan intelektualisme di dalam setiap pembangunan wataknya; Kakang (Kaki Bakar), Sidi (Azizah The Legend), Mamat (Jogho) dan Orang Kaya Tinggi (Hanyut) dipacu oleh kebijaksanaan Wak mengemudi bahasa komunikasi intrapersonalnya yang memberi impak perwatakan luar biasa kepada pemerhati. Pembangunan karakter ini bukan calang-calang kerana ia amat sesak dengan kecelaruan bahasa tubuh dan bahasa emosinya mengambil kira mereka sebagai manusia-manusia ‘biasa’ dan ‘normal’ yang punya motif, visi, konflik dan ideologi tersendiri (namun mempunyai letusan batiniah yang dasyhat, luar biasa dan tidak normal di dalam) yang mana telah diterjemahkan dan dikongsikan secara intelektualnya oleh Wak Khalid melalui bahasa komunikasinya sebagai aktor.

Ya, kemahiran komunikasi intrapersonal merupakan komunikasi dengan diri sendiri dengan meliputi proses sensasi, asosiasi, persepsi, memori dan berfikir di mana penulis merasakan kebijaksanaan Wak ini telah membantu sutradara menvisualkan momen-momen magis kerana penonton pasti dapat berinteraksi dengan kod-kod komunikasi yang digunakan Wak sebagai aktor berteraskan keupayaan intelektualnya membangunkan ‘mental hypothesis’ di dalam proses penjenamaan dan memanusiakan karakter-karakter tersebut yang berhadapan dua dimensi zahir dan batinnya.

Justeru, penulis berpendapat seni lakon Wak Khalid mencerminkan sebuah gagasan falsafah, pemikiran dan kerohanian bersifat sejagat yang mampu menghubungkan sesiapa sahaja (cross-cultural communication) dengan bahasa komunikasi intrapersonalnya sebagai aktor di layar lebar. Tidak hairanlah bagaimana lakonan ‘world class’ nya di dalam Jogho dan Kaki Bakar (jika ditutup suara atau ditutup sarikatanya) sebagai contoh tetap memberikan emosi dan impak kepada penonton. Gelombang letusan emosi pelbagai warna yang membuak-buak di dalam berjaya dizahirkan Wak Khalid melalui kod-kod proksemik (ruang dan jarak), kinesik (bahasa tubuh pelbagai merangkumi ekspresi wajah, gesture, postur) dan paralinguistik (laras dan emosi suara) yang kadangkala mengelirukan penonton tetapi menyampaikan proses ‘decoding’ iaitu penonton berinteraksi mencari maknanya.

●Kakang/Kaki Bakar: Amok (kesumat) manusia yang berprinsip dan berpedoman (ilmu)

Filem Kaki Bakar (1995) arahan Uwei HjSaari yang menjadi filem Malaysia pertama ditayangkan di Festival Filem Cannes 48 di bawah Uncertain Regards ini menterjemah pemikiran dan emosi Kakang, seorang pejuang kemerdekaan dan perantau dari tanah Jawa, Indonesia yang berperang dengan prinsipnya di tanah asing. “Prinsip” Kakang ini ibarat sebuah manifestasi perjuangannya melawan sifat amarah dan ketidakpercayaan sistem biarpun disimbolkan kepercayaannya kepada Tuhan. Justeru, Wak menghayatkan Kakang melalui implikasi interaksi dan komunikasinya terhadap sebuah sistem yang berlawanan dengan kepercayaannya selari dengan dimensi teori interaksi simbolik yang menggambarkan bahawa konsep pembangunan diri dikembangkan melalui interaksi dengan orang lain dan memberikan motif dalam berperilaku melalui pengalaman dan interaksi dengan orang lain. Natijahnya, penonton dapat melihat amok ‘kemusnahan’ Kakang yang berlawan dengan api ‘kemarahannya’ secara intrapersonal (minda, tubuh dan emosi dalaman) ketika proses membakar (amati kekuatan kudratnya membaling minyak petrol, dimensi tenaganya, jarak balingan mancis kepada objek yang begitu dekat menonjolkan seni ‘amokan’ tanpa suara selaras dengan motif ‘self-fulfilling prophecy’ (ekspektasi diri) kerana Kakang benar ‘tahu’ dan ‘sedar’ di mana kemarahannya hendak disalurkan.

Di dalam aspek proksemik yang meliputi perhubungan individu dengan lingkungan atau ruang, seperti penggunaan ruangan dan jarak antara Kakang dan objek dibakarnya adalah sangat-sangat dekat (ibarat Kakang dan dirinya sendiri) di mana kebijaksanaan Wak menterjemah perasaan amarah yang bercampur baur dengan sedih akibat sifat perjuangan dan semangat etnosentrismenya sebagai ‘anak jantan’ yang merujuk kepada kepercayaan atau rasa bangga yang wujud dalam dirinya (yang disalurkan kepada Kasuma, anaknya) bahawa budaya dan etnisiti mereka adalah jauh lebih baik dan hebat daripada kelompok lain. Secara intrapersonalnya, Wak Khalid perlu menjadi perantau dan pejuang (komunikasi dia dan dirinya) di bumi asing di mana secara batiniahnya, jiwanya kental dan Kakang itu sangat hebat pemikirannya; di mana diterjemah cemerlang melalui aspek pembangunan sosiolinguistik, psikolinguistik dan antropolinguistiknya yang menghubungkan penonton dengan latarbelakang dan pemikiran Kakang.

●Sidi/ Azizah The Legend: Keperwiraan bapa (kuasa) yang terlalu menyayangi anaknya (kasih)

Filem ‘Azizah: The Legend’ (1993) arahan Arief Karmahani juga jika dilihat bagaimana kekuatan Azizah sebagai gadis yang mendahului zamannya pada tahun 1930an dari aspek keberanian dan kecerdikan mempertahankan cintanya bersama Ramli biarpun mendapat tentangan ayahnya Sidi. Justeru, kejayaan Wak Khalid merangkul anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 11 adalah keberhasilan lakonan ‘makan dalam’ yang jelas sebagai bapa yang tegas dan over protective namun berhasil menjana pemikiran ‘worldview’ anak gadis tunggalnya yang berani bermain api. Sidi, di tangan Wak Khalid meneroka kemahiran komunikasi intrapersonalnya (minda, tubuh dan emosi diri) melalui tafsiran pembangunan psikologi perwatakan Sidi yang merangkumi perspektif psikodinamik (sifat tegas melampau seorang bapa secara tidak sedar dipengaruhi sifat sayang yang terlalu mendalam) kepada Azizah. Selain itu, wujud dimensi ‘kesakitan emosi’ yang harus dipikul Wak di saat terbaring tidak bermaya di atas katil dan ‘berlawan’ dengan perasaan ‘amarah’ seorang bapa yang gagal melindungi anaknya yang telah ‘dikotori’ oleh orang kepercayaan.

Intepretasi Wak sebagai Sidi sangat cemerlang kerana penonton larut dengan ‘kesakitan’ emosinya yang amat dasyhat kerana fisiologi dan psikologi sebagai manusia (bapa) yang ‘tewas’ namun perlu ‘kuat’ secara zahirnya untuk melindungi kesedihan, kemarahan dan ketakutan di atas tragedi yang menimpa Azizah. Pengamatan Wak yang sentiasa ‘memasyarakatkan’ diri memperkukuhkan intelektualismenya yang ‘memanusiakan’ watak diberi tanpa berlebih-lebihan kerana secara dasarnya, Wak membaca spektrum psikoanalisis manusia biarpun tidak berada di lingkaran zaman tersebut dengan “larut” membina keperibadian watak tersebut bukan secara fizikalnya sahaja namun dari aspek kerohanian (jiwa) yang berfungsi melalui sedar (conscious), prasadar (preconscious), dan tidak sedar (unconscious) yang wujud di dalam ‘Sidi’ ini.

●Mamat/Jogho: Kenikmatan pemimpin (status) yang dijulang maruahnya (kepercayaan)

Filem ‘Jogho’ (1999) arahan U-Wei HjSaari ini melalui spektrum komunikasi intrapersonal watak Mamat, pejuang, pemain dan pemimpin yang dominan ditangani secara bijaksana oleh Wak melalui satu jaringan motif; manifest function (kesan langsung) dan latent function (kesan tersembunyi) yang kompleks. Contohnya, gelanggang laga lembu, tanah dan rumah yang didiami Mamat dan keluarganya secara struktur politik dan sosialnya untuk perlindungan, pertemuan, perkongsian dan permuafakatan namun menjadi landasan “tersembunyi” dengan agenda peribadi, komplot, rahsia dan pembinaan konflik. Di dalam Jogho, Wak Khalid ‘menghayatkan’ Mamat secara intelektualnya melalui pembangunan ‘self esteem’ (nilai maruah diri yang Mamat sahaja fahami dan tidak dikongsi).

Namun bagi penulis, di sebalik ‘kekuatan’ Mamat yang ‘dominan’ sebagai pemimpin kumpulan (referent power) dan ketua keluarga (legitimate power), babak pertemuan Mamat dan anaknya, Jusoh di sekolah agama adalah ‘klimaks’ kerana secara intrapersonalnya, lihat sahaja dimensi bahasa emosi ‘kemarahan’, ‘kesakitan’ dan ‘kepiluan’ yang tidak terucap apabila Jusoh yang masih kecil menasihatinya untuk membiarkan polis yang menguatkuasakan undang-undang. Di sini, Wak begitu kukuh mengawal komunikasi kinesiknya kerana Jusoh ibarat simbol harapan (expert power) yang menjadi fokus ‘self esteem’ nya. Apabila diamati, warna ‘kesayuan’ di bahasa tubuh Mamat apabila Jusoh menolak wang yang diberikannya, Mamat seakan terpukul dan merenung wang kertas (objek dunia) dan kerana secara batinnya, Mamat dan Jusoh dipisahkan dengan pertembungan nilai dan kepercayaan yang akhirnya melahirkan kesan tersembunyi yang “dysfunctional”-kegagalan self esteem (selari dengan longlai langkah Mamat apabila meninggalkan Jusoh) yang dizahirkan cemerlang oleh Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke 43 ini.

●Orang Kaya Tinggi/Hanyut: Kenakalan pemimpin (helah) mempertahankan kepentingannya (maruah)

Hanyut (2016) arahan U-Wei Hj Saari sekali lagi menyediakan gelanggang buat Wak Khalid menterjemah kebijaksanaanya sebagai Orang Kaya Tinggi yang penuh helah tanpa disedari penonton serta menyembunyikan seribu satu rahsia dan kod-kod komunikasi intrapersonal. Secara zahirnya, Orang Kaya Tinggi, dari riak ‘nakal’ dan ‘agresif’ memberi konotasi keinginannya kepada ‘material’ namun bijak disembunyikan akan perjuangannya mempertahanka kepentingannya (maruah) Dalam komunikasi nonverbal, Orang Kaya ibarat dua manusia berbeza dimensinya tatkala di darat (bermain-main) namun amati jua ‘ketenangan’ dan ‘kekuasaanya’ mengemudi dirinya di atas air sewaktu mendayung yang memberi bayangan sesuatu berkenaan dirinya. Di tangan Wak Khalid, watak ini begitu dihayatkan dengan indah sekali.

“Di gelanggang ini, kamu bermainlah sebagai pemain yang bijak bermain”-Wak Khalid

Tenanglah wahai pencinta bersama Yang Maha Mencintai

Terima kasih untuk senimu Wak
Al-Fatihah

**Penulis merupakan Pengarah Dasar dan Perancangan FINAS

Wak Khalid