Malaysia merupakan negara yang semakin berkembang pesat dalam penggunaan Kecerdasan Buatan (AI). AI ditafsirkan sebagai teknologi yang membolehkan mesin atau sistem komputer berfikir, belajar dan membuat keputusan dengan cepat seperti manusia dan ia memainkan peranan penting dalam sektor seperti pendidikan, perniagaan, perubatan, kejuruteraan, keselamatan, penyiaran dan komunikasi dalam era digital masa kini.

Melalui pembentangan pada Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pelan transformasi nasional merupakan sinergi teknologi AI secara menyeluruh di bawah prinsip Malaysia MADANI. “Bagi memanfaatkan peluang ini, Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030 akan memacu pembangunan bakat tempatan, penyelidikan, pengkomersialan teknologi serta penyediaan infrastruktur digital bagi menyokong adaptasi AI secara meluas,” ujarnya pada 31 Julai lalu di Dewan Rakyat, Parlimen. Tambahan pula, Malaysia merancang pelaburan sebanyak RM611 bilion bagi menjadikan negara sebagai hab teknologi kecerdasan buatan (AI) menjelang tahun 2030.

ASEAN AI Malaysia Summit 2025 telah mengumpulkan para pemimpin, penggubal dasar, penyelidik dan masyarakat dari seluruh dunia bagi memacu kerjasama, tadbir urus dan inovasi dalam bidang kecerdasan buatan dengan matlamat bagi membentuk masa depan AI yang lestari, selamat dan inklusif.

Malaysia kini bukan lagi sekadar pengguna, sebaliknya mula mengorak langkah sebagai pencipta dalam revolusi AI global. Melalui kolaborasi pintar bersama gergasi semikonduktor Arm Holdings, negara kini memulakan fasa pembangunan cip AI yang bakal direka, dikilangkan dan diuji sepenuhnya di premis tempatan untuk memenuhi permintaan dunia. Melengkapi ekosistem inovasi ini ialah pengenalan chatbot ILMU; sebuah solusi AI yang ‘memahami’ denyut nadi masyarakat melalui keupayaan berinteraksi dalam dialek tempatan, sekali gus merapatkan jurang digital dan memastikan penyaluran maklumat lebih inklusif serta mudah difahami.

Sektor awam Malaysia juga memasuki fasa baharu melalui pengintegrasian aplikasi dan teknologi digital bagi memperkasa kemudahcapaian masyarakat. Penggunaan teknologi chatbot pada platform sebenarnya.my membuktikan kesungguhan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam memastikan rakyat menerima informasi yang sahih dan berintegriti di hujung jari. Seiring dengan kemajuan itu, peluncuran ‘Garis Panduan Pengadaptasian AI Sektor Awam’ menjadi ‘kompas’ penting bagi memastikan penggunaan kecerdasan buatan tidak sekadar mengejar kecekapan semata-mata, malah dilaksanakan secara beretika demi memelihara kepentingan awam.

Anjakan paradigma ekonomi negara kini banyak dibantu oleh gelombang AI, disokong penuh oleh suntikan dana kerajaan sebanyak RM50 juta pada tahun 2025 untuk melonjakkan modal insan berkemahiran tinggi. Inisiatif ini tidak terhad kepada pendidikan formal semata-mata, sebaliknya meluas ke industri media, sebagai contoh agensi Bernama proaktif melengkapkan wartawan dengan kemahiran AI bagi menghasilkan laporan yang lebih efisien. Pelbagai usaha lain juga dapat dilihat melalui tawaran kursus pembelajaran digital termasuklah dalam bidang pengaturcaraan dan kejuruteraan prompt serta robotik di badan-badan kerajaan mahupun syarikat swasta. Di sektor perniagaan dan hospitaliti, syarikat tempatan seperti I-Berhad dan Q-Bistro membuktikan potensi teknologi domestik, masing-masing dengan mempamerkan sejumlah robot humanoid di dalam di Pusat Pengalaman AI World di i-City, Shah Alam, Selangor dan penggunaan robot pelayan (PuduBOT) yang merupakan hasil teknologi buatan tempatan sebagai manifestasi jelas bahawa inovasi tempatan mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi. “Saya sendiri seperti tidak percaya Malaysia kini mempunyai teknologi AI dengan robot-robot yang canggih setanding dengan negara-negara maju yang lain”, ujar Kauthar Md Tahir ketika diwawancara di Pusat Pengalaman AI World di i-City, Shah Alam, Selangor.

Kesimpulannya, dalam mendepani realiti baharu ini keterlibatan semua pihak dalam mengimbangi kemajuan AI dengan aspek keselamatan dan keterjaminan adalah kunci kepada pembentukan Malaysia yang progresif, inklusif dan mampan. AI telah membuktikan fungsinya sebagai pemacu utama yang membawa transformasi nasional, selaras dengan agenda besar kerajaan MADANI untuk mengubah dan mengangkat kedudukan wajah baharu Malaysia sebagai sebuah Negara AI yang berdaulat menjelang 2030.

Foto & Teks : Rafiuddin Abdul Rahman/2025.

1. Ai
Seorang pengunjung Kauthar Md Tahir gembira ketika berinteraksi bersama robot humanoid bernama Luka di Pusat Pengalaman AI World di i-City Shah Alam, Selangor, Isnin (22/12/2025).

Pusat pengalaman itu menampilkan kandungan pameran imersif teknologi kecerdasan buatan (AI) dan robotik humanoid berskala besar yang memberi peluang kepada orang ramai melihat secara langsung bagaimana AI diterapkan dalam persekitaran kediaman, komersial, kesejahteraan dan gaya hidup masa depan di i-City. FINAS/Rafiuddin Abdul Rahman.

2. Ai

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (enam kiri) bersama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri (ketujuh kiri), Setiausaha Agung ASEAN Kao Him Hourn (lapan kiri), Menteri Digital Gobind Singh Deo (lima kiri), Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (kanan) dan delegasi-delegasi ASEAN pada sidang Kemuncak ASEAN AI Malaysia Summit 2025 di MITEC, Kuala Lumpur, Selasa (12/8/2025).

Sidang kemuncak bertemakan ‘Memacu Pembangunan AI Lestari dan Insklusif di ASEAN’ bertujuan menetapkan hala tuju kecerdasan buatan yang selamat, terjamin, beretika dan bertanggungjawab di rantau Asia Tenggara.FINAS/Rafiuddin Abdul Rahman.

3. Ai

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan replika cip AI pertama buatan Malaysia pada Majlis Kerjasama Strategik Malaysia – Peneraju Global Semikonduktor bagi Pembangunan Cip AI di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, Rabu (5/3/2025).

Cip AI pertama buatan Malaysia dengan Kerjasama ARM Holdings PIc (Syarikat Semikonduktor United Kingdom) itu, dalam ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sebagai langkah bersejarah bagi memajukan semikonduktor negara kerana ia landasan tepat menghasilkan cip AI sendiri yang akan direka, dikilang dan diuji sepenuhnya di Malaysia untuk pasaran global. FINAS/Rafiuddin Abdul Rahman.

4. Ai

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga kiri) bersama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri (kir), Menteri Digital Gobind Singh Deo (kedua kiri) dan Setiausaha Agung ASEAN Koa Kim Hourn (ketiga kanan) ketika melancarkan robot ILMU AI pada perasmian Sidang Kemuncak ASEAN AI Malaysia Summit 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur, Selasa (12/8/2025).

Robot ILMU (Intelek Luhur Malaysia Untukmu) adalah robot AI buatan Malaysia sepenuhnya dengan kerjasama YTL AI Labs dan Universiti Malaya (UM) dimana ILMU merupakan model bahasa pelbagai mod milik Malaysia dilatih menggunakan bahasa dan data setempat untuk memahami budaya, konteks dan kegiatan harian rakyat negara ini. FINAS/Rafiuddin Abdul Rahman.

5. Ai

Seorang kakitangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Nur Bahirah Lokman menunjukkan ChatBot sebenarnya.my menerusi aplikasi WhatsApp pada Majlis Pelancaran ChatBot di MCMC, Cyberjaya, Selasa (28/1/2025).

ChatBot sebenarnya.my diperkenalkan sebagai platform dalam usaha kerajaan perangi berita dan maklumat palsu selain menyampaikan berita dan maklumat yang tepat dan benar kepada masyarakat menerusi aplikasi WhatsApp. FINAS/Rafiuddin Abdul Rahman.

6. Ai

Menteri Digital Gobin Singh Deo (kanan) bersama Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara (JDN) Ts. Dr. Fazidah Abu Bakar (kedua,kiri) dan pegawai-pegawai kerajaan berfoto kenangan pada Majlis Memperkenalkan Garis Panduan Pengadaptasian Kecerdasan Buatan (AI) Sektor Awam di Hotel Le Meridien, Putrajaya, Jumaat (27/2/2025).

Garis panduan yang diperkenalkan itu mengandungi dokumen setebal 158 muka surat berperanan sebagai rujukan utama bagi kakitangan awam mengadaptasi tanggungjawab dan etika selari dengan usaha kerajaan MADANI mempertingkatkan keberkesanan serta kecekapan dalam penyampaian. FINAS/ Rafiuddin Abdul Rahman.

7. Ai

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyampaikan cenderamata kepada Ketua Pengarah Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Simon Sun pada majlis pelancaran Kursus ‘AI in the Newsroom’ di Huawei Customer Solution Innovation Center (CSIC), Integra Tower, The Intermark, Kuala Lumpur, Isnin (24/2/2025).

Kursus yang dihadiri seramai 40 pengamal media pelbagai agensi selama dua hari itu bertujuan untuk melengkapkan diri dalam menghadapai cabaran kewartawanan moden dan meningkatkan pemahaman mengenai AI selain berperanan dalam pengumpulan berita, penyuntingan dan penyebaran maklumat. Kursus ini juga dilaksanakan dengan peruntukan RM1juta daripada kerajaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Wartawan Nasional 2024 di Sawarak tahun lalu. FINAS/Rafiuddin Abdul Rahman.

8. Ai

Beberapa pengunjung dan pekerja menyaksikan demontrasi robot interaktif teknologi AI di Pusat Pengalaman AI World di i-City Shah Alam, Selangor, Isnin (22/12/2025).

Pusat pengalaman itu menampilkan kandungan pameran imersif teknologi kecerdasan (AI) buatan dan robotik humanoid berskala besar yang memberi peluang kepada orang ramai melihat secara langsung bagaimana AI diterapkan dalam persekitaran kediaman, komersial, kesejahteraan dan gaya hidup masa depan di i-City. FINAS/Rafiuddin Abdul Rahman

9. Ai

Seorang kanak-kanak teruja melihat robot penghantar minuman dan makanan yang berisi teh ais di Restoran Q-Bistro, Cheras, Kuala Lumpur, Khamis, (25/12/2025).

Penggunaan inovasi robot penghantar makanan itu dapat mengurangi beban pekerja selain memudah dan membantu mempercepatkan proses penghantaran makanan kepada pelanggan. FINAS/Rafiuddin Abdul Rahman.

10. Ai

Kelihatan dua wanita bersantai menikmati keindahan pemandangan Bandaraya Metropolitan Kuala Lumpur di Bukit Ampang, Kuala Lumpur, Khamis (25/12/2025).

Bandaraya Metropolitan Kuala Lumpur merupakan hub AI dengan pembangunan digital Malaysia yang kian berkembang bagi mencapai sasaran bandaraya sejahtera, inklusif dan mampan untuk semua dalam konteks kerajaan MADANI. FINAS/Rafiuddin Abdul Rahman.