Kuala Lumpur, 26 Mei – Kuala Lumpur Film School (KLFS) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) terus berganding bahu menganjurkan program apresiasi filem tempatan dan ASEAN melalui sesi Bicara Filem bersama pengarah filem, U-Wei HjSaari dan tetamu undangannya, pengarah Shanjhey Kumar Perumal yang hadir bagi sesi apresiasi filem Tamil tempatan ‘Jagat’ (2015).

Program sinergi ilmu dan pembangunan intelektual ini telah meneroka aspirasi, falsafah, ideologi dan nilai di sebalik Filem Terbaik Malaysia FFM28 ‘Jagat’ karya Shanjhey yang mengisahkan hitam putih perjalanan, harapan dan perjuangan masyarakat India melalui kacamata dan naratif seorang budak Appoy, ahli keluarga dan manusia-manusia di sekelilingnya yang berhadapan dengan konflik dan pemberontakan emosi di bawah aturan sistem yang perlu diharungi. ‘Jagat’ secara halus juga bercerita mengenai cabaran komuniti yang dipinggirkan bagi berjuang mendepani isu urbanisasi, modernisasi, sosio ekonomi, pendidikan, asimilasi dan akulturasi budaya.

Meneroka persoalan sejagat mengenai sistem sosial, kemasyarakatan dan kemanusiaan yang diterjemah secara sinematik di layar visual, filem lakonan Harvin Raj, Jibrail Rajhula, Tinesh Sathi Krishnan & Kuben Mahadevan ini telah berjaya menjelajah di pelbagai festival filem antarabangsa di antaranya New York Asian Film Festival, Amerika Syarikat; Asia Pacific Screen Awards, Australia; ASEAN International Film Festival & Awards, Sarawak; Five Flavours Film Festival, Poland; Hanoi International Film Festival, Vietnam; Luang Prabang International Film Festival, Laos dan banyak lagi. Turut hadir di program ini ialah para karyawan filem, ahli-ahli akademik dari institut pengajian tinggi awam dan swasta, para penggiat seni serta tetamu jemputan yang lain.