Kuala Lumpur, 1 Mei-Bakat besar kanak-kanak berusia 11 tahun dari Kuala Lumpur, Shahfi Rafiq ternyata berjaya menambat hati juri apabila dinobatkan sebagai juara program ‘Spotlight’; sebuah rancangan online realiti pertama di Malaysia terbitan OgyTv yang dicetuskan oleh karyawan seni dihormati, Fauziah Dato’ Ahmad Daud. Spotlight: The Grand Finale yang berlangsung malam tadi di Laman Sari, Istana Budaya terdahulunya telah disiarkan selama 7 minggu secara online di saluran ogytv.com dan saluran sosial media OgyTv melalui penyertaan 10 bakat baharu dari Malaysia, Indonesia dan Singapura. Program yang bertujuan melatih personaliti pelbagai bakat untuk menjadi sorang profesional di dalam bidang yang mereka ceburi ini telah dibimbing secara langsung oleh Fauziah Dato Ahmad Daud dan dibantu oleh orang-orang ternama di dalam industri hiburan Malaysia dengan menggabungkan konsep hiburan, motivasi, akademik, NLP, public speaking, EQ dan sebagainya. Malam kemuncak telah turut dihadiri YBrs. En. Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, YBhg. Dato’ Mohamed Juhari Shaarani, Ketua Pengarah Istana Budaya, Zed Zaidi, Presiden SENIMAN, karyawan dan penggiat seni tanahair dan pihak media.