Kuala Terengganu, 7 April – FINAS dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia sedang mengadakan bengkel Penulisan Skrip Berunsur Dakwah di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu bermula pada 6-9 April 2017. Potensi pembangunan skrip, naratif dan penceritaan di dalam spektrum kandungan kreatif berunsur dakwah seperti filem, tv, animasi, dokumentari dan lain-lain yang mampu memberi impak selain mampu diteroka sebagai eksport global. Peranan skrip yang baik di dalam kandungan kreatif ‘edutainment’ dan ‘infotainment’ adalah teras yang terus dibangunkan FINAS melalui aspek pembangunan modal insan di kalangan karyawan dan penglibat industri dengan kerjasama agensi dan rakan strategik.

Bengkel ini merupakan lanjutan dari siri pertama bengkel penulisan skrip yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 2016. Daripada 40 peserta bengkel siri pertama, 20 orang telah disenarai pendekkan untuk menyertai program ini bagi membangunkan skrip masing-masing. Bengkel disampaikan oleh En. Azrain Ariffin, seorang penulis skrip berpengalaman dan disertai oleh guru-guru pendidikan termasuk guru pendidikan agama Islam.