Hulu Kelang, 7 Mac- Yayasan Dunia Melayu Islam (DMDI) melalui DMDI Global Sdn Bhd telah mengambil inisiatif menghasilkan filem cereka dokumentari Panglima Awang: A Malay and Magellan berdasarkan novel Panglima Awang karangan Harun Aminuurashid mengenai fakta orang Melayu Melaka di abad ke 16 yang menjadi individu pertama mengelilingi dunia bergelar ‘Panglima Awang’ dan bukannya Ferdinand De Magellan seperti yang tercatat dalam sejarah Barat. Mengikut sejarah, Panglima Awang atau dikenali di sejarah barat sebagai sebagai Henry The Black dan Enrique of Malacca merupakan seorang individu berketurunan Melayu yang menyertai misi pelayaran Ferdinand Magellan untuk mengelilingi dunia. Satu majlis pratonton dokumentari ‘A Malay and Magellan’ telah berlangsung petang tadi di Pawagam Mini P.Ramlee, FINAS.

Menjalankan penggambaran di enam buah lokasi; Sepanyol, Chile, Filipina, Argentina, Portugal dan Argentina, dokumentari arahan Pedro Palma dari Portugal ini menjalani penggambaran selama 6 bulan. Menurut YB Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib, Pengerusi FINAS, penerbitan dokumentari yang meneroka perspektif baharu sejarah Panglima Awang sebagai pahlawan dan pejuang laut yang terkemuka dan bijaksana dan menjadi manusia pertama yang mengelilingi dunia adalah penting kepada pembangunan ilmu dan sejarah maritim dunia itu sendiri. Beliau juga menyatakan potensi dokumentari seperti ini untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa melalui kandungan dan kajian yang berteraskan fakta.

Dalam pada itu, YBhg Tan Sri Hj Mohd Ali Mohd Rustam, Penasihat Yayasan Melayu Dunia Islam (DMDI), dokumentari ‘A Malay and Magellan’ adalah terjemahan visual kepada fakta sejarah yang disokong kajian mendalam tokoh-tokoh sejarah dan ahli akademik di dalam dan luar negara yang mampu menjana kepada perdebatan, perkongsian dan perbincangan ilmu di antara dua perspektif; timur dan barat.

Turut hadir ke majlis pratonton ini ialah Timbalan Pengerusi FINAS, Datuk Yusof Haslam, Ketua Pengarah FINAS, Dato’ Fauzi Ayob, Ahli-ahli Perbadanan FINAS, Datuk Hajjah Rozzanamoon Datuk Rahmat, pihak Yayasan Melayu Dunia Islam (DMDI) dan pihak media.