Kota Kinabalu, 7 Ogos– YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah hari ini telah merasmikan pelancaran drama bersiri 50 episod di RTM ‘Seputih Cinta Rangbulan’ terbitan Global Station Sdn Bhd yang meneroka elemen kemasyarakatan, sosio budaya dan integrasi nasional dengan negeri Sabah sebagai lokasi utama.

“Pembangunan industri kreatif tempatan pastinya bergerak seiring dengan pemerkasaan aspek penceritaan yang berlatarbelakangkan keunikan sesebuah budaya dan bangsa yang mampu merentas dunia” ujar YB Datuk Seri Masidi yang berbangga dengan usaha berterusan membina jambatan perpaduan di antara rakyat dengan penerbitan kandungan kreatif selain mengalakkan pembangunan sosio ekonomi melalui sektor perkhidmatan dan pelancongan.

Pelancaran drama yang turut dihadiri YB Datuk Seri Dr.Mohd Salleh Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan isteri YBhg Datuk Raya Erom, Datin Zaiton Mohd Jiwa, Penerbit Global Station Sdn Bhd, Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS dan Tn.Hj.Mohd Zulkifli Ab.Wahab, Timbalan Ketua Pengarah (Produksi & Teknikal) FINAS ini turut diserikan dengan kehadiran pengarah, MP Roslin, barisan pelakon utama Fezrul Khan, Dayana Roza, Fasha Sandha, Ruminah Sidek, Azwan Kombos, Ruminah Sidek, Lia Natalia, Wilma Muhammad dan Fikhree Bakar.

Menurut Datin Zaiton, penerokaan kisah masyarakat luar bandar di Kota Belud dengan perjuangan adat dan budaya selain penyatuan dua jiwa dari latar belakang yang berbeza di Semenanjung adalah manifestasi kepada konsep perpaduan, pembangunan komuniti dan integrasi nasional yang menjadi aspirasi kerajaan. “Kita beruntung kerana bakat-bakat besar dari Sabah diketengahkan di dalam produksi ini selain berharap ia mampu mempromosikan keindahan budaya dan lokasi di Sabah kepada pihak luar”.