Ampang, 1 Nov 2017 – Majlis Penyampaian Sijil Pengakuan-Sah Industri Kreatif & Pelancaran Buku CCIG telah diadakan di WOW KL, Jalan Ampang yang dianjurkan oleh Persatuan Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG) dengan disokong oleh Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM) serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Membuka tirai dengan Majlis Pelancaran Buku Coffee Table yang disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia diiringi oleh YBhg. Dato’ Jurey Latiff Rosli, Presiden CCIG, YB Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib, Pengerusi FINAS serta YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS. YB Menteri menerusi ucapannya berkata akan kepentingan pelan pembangunan modal insan sebagai pelan strategik jangka panjang kepada pemerkasaan industri kreatif.

Berobjektifkan pemerkasaan dan pembangunan modal insan serta profesionalisme tenaga mahir di dalam industri kreatif, program ini merupakan manifestasi kepada pelan jangka panjang bagi menaiktaraf kualiti industri melalui pensijilan formal, justeru seramai 46 orang peserta telah menerima Sijil Pengakuan-Sah Industri Kreatif pada malam ini. Turut hadir bersama ialah YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan FINAS, YBrs. Tuan Hj Mohd Zulkifli Ab. Wahab, Timbalan Ketua Pengarah Produksi & Teknikal FINAS, YBrs. Tn. Hj. Abd Khalid Maulod, Pengarah Bahagian Pembangunan Industri FINAS, Ahli-ahli Perbadanan FINAS, YBhg. Datuk Haji Tiyunin Jeman & En Zahrin Aris, Presiden Persatuan-Persatuan Perfileman Malaysia serta para karyawan industri.