Hulu Kelang, 16 November – Dalam usaha mewujudkan kerjasama strategik di antara Malaysia dan India, Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia bersama I-M Heritage (Kumpulan Warisan India-Malaysia) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) hari ini telah mengadakan Majlis Tayangan Filem Hindustan ‘Singapore’ (1960) di Pawagam Mini P. Ramlee, FINAS.

Penganjuran program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada generasi muda khasnya mengenai sejarah warisan kebudayaan dan kesenian dalam bidang perfileman antara Malaysia dan India sejak tahun 1960. Selain itu, program ini juga adalah untuk memberi pengiktirafan kepada seniwati tanah air iaitu Dato’ Sri Maria Menado yang turut sama membintangi filem tersebut bersama pelakon hebat dari India seperti Shammi Kapoor, Padmini Shashikala, K.N Singh, dan Madan Puri. Filem Singapore arahan Shakti Samanta ini telah menjalani penggambaran di Singapura sekitar tahun 1960 sebagai simbolik kepada sejarah perfileman Bollywood yang menggandingkan pelakon dari dua Negara.

Dato Fauzi Ayob dalam ucapannya sangat berbesar hati di atas penganjuran program seperti ini yang dilihat mampu menyemai dan memperkukuhkan hubungan dua hala dalam bidang seni antara Malaysia dan India khasnya.

Majlis yang diserikan dengan kehadiran Dato’ Sri Maria Menado itu turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, T.S Tirumurti, wakil I-M Heritage Group, Shakuntala Sharma, presiden-presiden persatuan, para pencinta filem, dan rakan-rakan media.