FINAS ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah buat dua buah filem cereka tempatan, arahan pengarah muda negara iaitu ‘Geran’ arahan Areel Abu Bakar dan ‘Sometime, Sometime’ arahan Jacky Yeap yang terpilih menembusi kategori New Asian Cinema di festival filem berprestij antarabangsa, 14th Five Flavours Asian Film Festival yang bakal berlangsung dari 25 November-6 Disember 2020 di Warsaw, Poland. Bakal bersaing merebut anugerah Grand Prix sebagai pengiktirafan kepada pembikin filem Asia baharu dan berpotensi, terdahulunya filem ‘Geran’ yang mengangkat seni persilatan Melayu di layar perak lakonan Namron, Khoharullah Majid, Feiyna Tajudin, Fad Anuar, Azlan Komeng dan ramai lagi ini telah mengharumkan nama Malaysia apabila diumumkan merangkul anugerah ‘Daniel A. Craft Award for Excellence in Action Cinema’ di 19th New York Asian Film Festival (NYAFF) 2020 di Amerika Syarikat. Selain itu, filem ‘Sometime, Sometime’ mengenai hubungan serta konflik ibu dan anak lakonan Jacky Yeap bersama Tan Chui Mui ini juga telah memahat nama Jacky Yeap sebagai pembikin muda berpotensi apabila dicalonkan untuk Asian New Talent Award di 23rd Shanghai International Film Festival (SIFF) selain terpilih sebagai seleksi tayangan antarabangsa di Taipei Golden Horse Film Festival 2020.

1

2