WP Labuan, 29 April-Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Perbadanan Labuan hari ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memeterai hubungan dan kerjasama strategik dalam memperkasakan industri kreatif melalui fungsi strategik (G2G) di antara kedua-dua agensi kerajaan di Hotel Dorsett, Labuan. MoU tersebut yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, YBrs. En. Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan YBhg. Tn. Hj. Rithuan Haji Mohd Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perbandaran) Perbadanan Labuan ini turut disaksikan, YB Tuan Hj Khalid Abd Samad, Menteri Wilayah Persekutuan, YBhg. Datuk Seri Hj Saripuddin Hj Kasim, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, YBhg. Dato’ Sri Hj Amir Hj Hussein, Pengerusi Perbadanan Labuan dan YBhg. Dato’ Hans Isaac, Pengerusi FINAS.

Melalui kerjasama di antara FINAS dan Perbadanan Labuan, ia adalah manifestasi kepada pelan jangka panjang strategik bagi meningkatkan kerjasama dalam menjana pembangunan dan pelaburan sektor industri kreatif merangkumi insentif galakan penggambaran, pembangunan modal insan, dasar dan polisi industri, pembudayaan sinema, pembangunan komuniti filem, pendidikan, infrastruktur dan lain-lain lagi. Di majlis yang sama, memorandum perjanjian persefahaman turut ditandatangani di antara Perbadanan Labuan dan Skop Productions Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Urusan YBhg. Datuk Yusof Haslam yang bakal menjana potensi penggambaran dan jaringan promosi di Labuan. Turut hadir bersama ialah En. Panshah, Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), ketua-ketua agensi Wilayah Persekutuan Labuan dan pihak media