Hulu Kelang, 16 Ogos – YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS hari ini merasmikan dan menyampaikan cek Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) kepada 13 buah syarikat produksi tempatan bagi suku kedua tahun 2018 di Majlis Penyampaian Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) di Pawagam Mini P.Ramlee, FINAS sebentar tadi.

Penyerahan Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) berjumlah sebanyak RM 1,556,741.61 ini telah diberikan kepada 13 buah syarikat produksi yang telah berjaya menerbitkan 16 buah filem cereka yang ditayangkan di bawah Skim Wajib Tayang. Menurut Dato’ Fauzi, penyerahan ITFC ini merupakan inisiatif pihak kerajaan melalui FINAS di dalam menjana pembangunan industri filem melalui strategi galakan dan insentif. Ujarnya lagi, pihak kerajaan melalui FINAS sentiasa peka dan memandang serius cabaran-cabaran yang dihadapi para penggiat industri dan terus komited menjana resolusi bersama pihak KKMM.

Majlis ini turut dihadiri para penerbit filem, pengurusan tertinggi FINAS, penggiat industri dan pihak media.