Kota Kinabalu, 24 April-Di dalam aspirasi pemerkasaan industri menerusi jaringan sinergi dua hala, FINAS bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini telah menandatangani surat niat bagi perjanjian kerjasama strategik (G2G) di antara kedua-dua badan dengan FINAS diwakili oleh YBrs. En. Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS dan YBrs. Dr. Masitah Mohd Radzi, Dekan Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan, UMS. Turut dihadiri dan disaksikan YBhg. Prof Madya Dr. Ramzah Dambul, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMS, YBrs. En. Onn Norshal Hamzah, Ahli Perbadanan FINAS dan Pn.Hajah Subaidah Md Top, Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal FINAS, kerjasama di antara FINAS dan UMS ini adalah pelan jangka panjang strategik bagi meningkatkan kerjasama dan perkongsian kepakaran dalam bidang yang berkaitan merangkumi pembangunan modal insan, penyelidikan, pembudayaan sinema, pendidikan, pemasaran dan polisi. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FINAS lagi, peranan penting FINAS di dalam memperkasakan ‘roadmap’ dan inkubasi bakat buat generasi muda khususnya di institusi pengajian tinggi adalah salah satu platform yang bakal melahirkan karyawan pelapis industri.