Taipei, 1 September- Filem supernatural noir ‘Interchange’ karya Pengarah Terbaik FFM29, Dain Said telah berjaya meraih anugerah Kesan Khas Visual (Best Visual Effect) di Festival Filem Asia Pasifik ke 58 yang berlangsung di Taipei, Taiwan malam tadi. Meraih kemenangan menewaskan empat calon akhir iaitu Jungle/Australia, The Tag Along 2/Taiwan, Villa Dwellers/Iran dan The Soul of Himalaya/China, kesan visual bagi filem ‘Interchange’ ini dijana oleh Mira Digital, Studio Voxel, Imagica SEA dan Tre14 Asia. Diwakili Dato’ Nancie Foo yang menerima anugerah mewakili pihak produksi, filem ini juga telah tercalon bagi kategori Penataan Bunyi Terbaik bersama-sama Birdshot/Filipina, The Tag Along 2/Taiwan, The Right to Kill/Filipina dan Respeto/Filipina.

Terdahulunya, filem ‘Adiwiraku’ arahan Eric Ong yang berinspirasikan perjuangan seorang guru di sekolah luar bandar yang membantu para pelajarnya membina keyakinan diri melalui pertandingan ‘Choral Speaking’ telah juga berjaya menembusi pencalonan akhir bagi kategori Cerita Asal Terbaik untuk Jason Chong yang juga pemenang bagi kategori yang sama di FFM29 yang lalu.

Diwakili Interchange, Adiwiraku, Hanyut dan Abang Long Fadil 2, penyertaan Malaysia di festival filem antarabangsa yang dianjurkan semenjak tahun 1954 ini adalah selaras dengan keahlian Malaysia melalui Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) di dalam Badan Penerbit Filem Cereka Asia Pasifik yang dianggotai 23 buah negara yang lain di rantau Asia Pasifik. Tahun lalu, Malaysia berjaya meraih anugerah Pengarah Terbaik buat Syamsul Yusof untuk filem Munafik dan Penyunting Terbaik untuk Gwyneth Lee bagi filem Ola Bola di mana dari penganjuran edisi pertama sehingga ke APFF 58, filem-filem Malaysia telah meraih sejumlah 56 buah anugerah.