Kuala Lumpur, 28 Ogos – Selepas pelancaran poster rasmi yang diadakan pada bulan Jun yang lalu, ‘Kalla: Hidup atau Mati’ hari ini melancarkan treler dan runut bunyi rasmi di Majlis Sidang Media Pelancaran Trailer, Filem dan Runut Bunyi anjuran Little Film Sdn Bhd dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di WOWKL! sebentar tadi.

Naskhah bergenre saspens thriller terbitan syarikat Little Film Sdn Bhd ini mengisahkan tentang watak seorang professor sejarah meneruskan pencarian isterinya yang terbunuh akibat serangan bom pengganas hasil garapan pengarah dan penerbit Dato’ Dr. Suhaimi Ibrahim dan Lai Yun Ka, turut dibintangi pelakon-pelakon seperti Faizal Hussein, Farali Khan, Azhan Rani, Vanida Imran, Zaidi Omar dan ramai lagi.

Bakal menemui penonton pada 11 Oktober 2018, filem ini juga turut menyaksikan perasmian lagu runut bunyi yang dicipta khas oleh komposer Ajai yang dinyanyikan oleh Noryn Aziz dan Hazama bertajuk ‘Percayakan Hati Kita.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Dato’ Dr. Suhaimi Ibrahim, penerbit dan pengarah filem, barisan pelakon filem, para penggiat industri, rakan-rakan media dan jemputan yang lain.