Putrajaya, 27 Ogos – Setelah hampir tiga minggu menjelajah ke 11 buah negeri di Semenanjung Malaysia, Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2018 yang disertai 22 kenderaan dari Jabatan Penerangan Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan NGO serta 30 buah motorsikal berkuasa tinggi dengan penglibatan 133 peserta hari ini disambut meriah di Atrium, Menara Seri Wilayah, Kementerian Wilayah tengah hari tadi.

Konvoi disambut mesra oleh Menteri Wilayah, YB Tuan Hj Khalid Abd Samad diiringi Timbalan Menteri Wilayah, YB Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh, bersama Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, YBhg. Datuk Seri Adnan Hj. Md Ikshan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Tuan Shakib Ahmad Syakir. Terdahulu Ketua Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2018, En. Mohamad Fatkhul Hatta Robiki telah menyerahkan Jalur Gemilang kepada Menteri Wilayah sebagai simbolik kepada majlis sambutan tersebut.

Melalui platform pameran kreatif oleh agensi-agensi dan rakan strategik, FINAS telah menyediakan program-program menarik seperti ‘Intra-Sinema’ iaitu tayangan filem cereka dan dokumentari hasil sentuhan karyawan muda industri, ‘FilmNovaTech’ iaitu pameran audiovisual kandungan dengan teknologi restorasi dan pendigitalan, ‘EkplorasiSINEMA’ yang memberi ruang pengunjung meneroka sejarah industri filem negara dengan kuiz dan permainan interaktif.

Selain dari persembahan busker, sesi penyampaian Jalur Gemilang, dan sesi menandatangani Buku Autograf KMJG18, program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama strategik jabatan dan agensi seperti FINAS, Bernama, RTM, Telekom dan Pos Malaysia ini telah menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan 2018 yang akan disambut pada 31 Ogos nanti.

Turut hadir bersama Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, YBhg. Dato’ Ibrahim Abd Rahman, YBrs. En. Devaraj Subramaniam, Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ketua-ketua jabatan dan agensi serta penjawat awam.