Putrajaya, 28 Jun – Majlis Amanat YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) telah berlangsung pagi tadi di Kompleks KKMM.

Di dalam amanat beliau, YB Tuan Gobind Singh Deo telah menyatakan bahawa KKMM akan terus memacu ke hadapan melalui peranan agresif yang merangkumi komunikasi secara menyeluruh untuk terus berkembang dan menjadi penyumbang kepada ekonomi negara. Beliau juga turut menyeru agar kementerian, jabatan dan agensi di bawah KKMM menjadi lebih terbuka kepada perubahan minda yang positif, berintegriti dan amanah untuk kecemerlangan kepimpinan dalam kerajaan selain terus konsisten memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Dr. Mohd Ali Mohamad Nor, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KKMM, YBhg. Dato’ Samsuni Mohd Nor, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) KKMM, YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, Ketua-ketua Pengarah jabatan dan agensi di bawah KKMM, Pengarah-pengarah bahagian jabatan dan agensi di bawah KKMM, dan rakan-rakan media.