Kuala Lumpur, 25 April – Majlis Pelancaran Supertelefilem Srengenge telah diadakan bertempat di Auditorium Dewan Bahasa Pustaka (DBP). Majlis disempurnakan oleh tetamu kehormat YB Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Industri dan Asas Tani, serta diiringi YBhg Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Abdul Adzis Abas. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Harta Intelek dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Syarikat Arca Creative Sdn. Bhd. telah mengadakan satu projek pelesenan kandungan mengadaptasi novel Srengenge, karya Sasterawan Negara Dato’ Profesor Emeritus Haji Shahnon Ahmad ke layar supertelefilem bagi merealisasikan salah satu objektif penubuhan DBP iaitu memperkembangkan bakat sastera khususnya dalam bahasa kebangsaan. Srengenge menurut penulis asal berasal daripada perkataan Jawa Kuno yang bermaksud Matahari telah diarahkan oleh saudara Mahuddin Ibrahim, bakal disiarkan di RTM 1 pada 6 Mei 2017 jam 9.00 malam. Antara barisan pelakon adalah Eman Manan, Sahronizam, Datin Fadilah Mansor, Jasmin Hamid dan Fathil Dani.