Hulu Kelang, 23 Mac – Ketokohan dan perjuangan seni Allahyarham Dato’ Mustapha Maarof dan Allahyarham Datuk Aziz Sattar di dalam pembangunan industri filem tempatan telah diiktiraf hari ini melalui Program Imbas Kembali & Layar Bintang anjuran FINAS dengan kerjasama Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Kelab Filem dan Muzik Melayu Klasik di Studio Sound Stage, FINAS.

Disempurnakan oleh tetamu kehormat YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim yang turut sudi bersama-sama melancarkan buku ‘Ceria Bersama S.Shamsudin dan Wahid Satay’ terbitan FINAS bersama seniman Wahid Satay dan ahli keluarga Allahyarham S. Shamsudin, beliau di dalam ucapannya telah menekankan kepentingan pembangunan khazanah perfileman di dalam menjana sejarah dan warisan negara. Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, YBrs. En. Ahmad Idham Ahmad Nadzri menyifatkan program Imbas Kembali dan Layar Bintang sebagai platform penghargaan kerajaan melalui KKMM dan FINAS sambil merakamkan penghargaan kepada barisan bintang lagenda filem Melayu klasik Singapura dan Malaysia seperti Zaiton, Wahid Satay, Hashimah Yon, Dayang Sofia, K. Fatimah, Dayang Sulu, Habibah Haron, Salmah Ahmad, Arman Yadi, Uji Rashid dan ramai lagi yang telah menyumbangkan jasa melalui seni lakon mereka.

Dianjurkan bersempena Festival Filem Malaysia ke 30 (FFM-30), program pembudayaan dan jaringan ilmu merangkumi Segmen Imbas Kembali yang diselia YBhg. Dato’ Rosyam Nor sebagai moderator dengan perkongsian persepektif kedua-dua tokoh oleh Akmal Abdullah, Salmah Ahmad, Sandakiah Azeez (anak Datuk Aziz) dan Mohd. Rezainudden (anak Dato’ Mustapha), program telah diteruskan dengan peletakan plak tandatangan di Layar Bintang FINAS bersama-sama dengan tokoh-tokoh lagenda terdahulu termasuklah Tan Sri P. Ramlee, Dato’ S. Romai Noor, Nordin Ahmad, Tan Sri Jins Shamsudin, Saadiah, A.R Tompel dan ramai lagi.

Turut hadir bersama-sama menyokong program ini adalah YBhg. Puan Sri Maznah Rais, YBrs. Encik Khairul Azhar (Nik) Abu Bakar, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan FINAS, YBrs. Tuan Haji Khalid Maulod, Pengarah Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30), YBrs. Encik Fazli Abdul Aziz, Pengerusi Jawatankuasa Imbas Kembali & Layar Bintang, YBrs. Encik Rozaidi Jamil, Presiden SENIMAN, YBrs. Encik Hidir Ali Razali, Timbalan Pengerusi Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik, Presiden-presiden persatuan perfileman dan karyawan industri, rakan-rakan media, pencinta filem, pihak media dan tetamu jemputan lain.