Kuala Lumpur, 22 Disember – Kuala Lumpur Film School (KLFS) dengan kerjasama Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah berkerjasama hari ini di dalam penganjuran program perkongsian ilmu dan pembangunan apresiasi sinema, Bicara Filem KLSF: Perspektif Pembikin Filem (Siri Pengarahan Filem) yang diterajui oleh pengarah dan karyawan filem, U-Wei Hj Saari di KLFS, Wangsa Melawati.

Menampilkan filem terbitan Pixel Play Entertainment dan Jazzy Pictures ‘One Two Jaga’ arahan Nam Ron yang turut hadir bagi sesi perkongsian ilmu dan apresiasi sejurus tayangan, filem ini telah dikupas secara ilmiah daripada perspektif pembikinan dan pengarahan, falsafah, cabaran, aspirasi dan impak kepada penonton.Terdahulunya, filem ‘One Two Jaga’ ini telah menjadi finalis Filem Cereka Terbaik di 17th New York Asian Film Festival 2018 dan 12th Five Flavours Asian Film Festival, Warsaw, Poland selain mewakili Malaysia di 21st Shanghai International Film Festival (SIFF) di China (Official Selection) dan 20th Udine Far East Film Festival, Itali (In Competition). Dibintangi Zahiril Adzim, Dr. Rosdeen Suboh, Amerul Affendi, Along Ezyendy, Iedil Putra, Chew Kin Wah, Azman Hassan, Vanidah Imran, Farah Ahmad selain bintang Indonesia, Ario Bayu dan Asmara Abigail serta Timothy Castillo dari Filipina, filem ini meneroka sisi gelap berkaitan rasuah, korupsi dan jenayah serta konflik kemanusiaan sejagat yang menghantui masyarakat.

Turut hadir pada program Bicara Filem ini adalah para karyawan filem dan penggiat industri, pensyarah dan pelajar perfileman serta khalayak filem.