Kuala Lumpur, 27 Oktober – Kuala Lumpur Film School (KLFS) dengan kerjasama Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berkerjasama dalam menganjurkan program perkongsian ilmu dan pembangunan apresiasi sinema melalui program Bicara Filem KLSF: Perspektif Pembikin Filem (Siri Pengarahan Filem) yang diterajui oleh pengarah dan karyawan filem, U-Wei Hj Saari di KLFS, Wangsa Melawati.

Menampilkan filem “Vedigundu Pasangge” arahan Dr. Virmala Perumal yang turut hadir bagi sesi perkongsian ilmu dan apresiasi sejurus tayangan, filem ini telah dikupas secara ilmiah daripada perspektif pembikinan dan pengarahan, falsafah, cabaran, aspirasi dan impak kepada penonton.

Filem aksi komedi berbahasa tamil ini telah mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila kutipan filem ini merupakan kutipan filem tamil tempatan yang tertinggi di Malaysia setakat ini. Filem terbitan Veedu Production Sdn. Bhd. ini dibarisi pelakon hebat seperti Denes Kumar, Sangeeta Krishnasamy, Thangamani Velayudan, David Anthony, Seelan Manoheran dan ramai lagi.

Hadir pada program Bicara Filem adalah para karyawan filem dan penggiat industri, pensyarah dan pelajar perfileman serta khalayak filem.