Petaling Jaya, 19 April – Seramai 30 orang pelajar dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam yang diketuai oleh pensyarah pengiring, En. Mohamed Hamzani Mohamed Izzamuddin dan 50 orang pelajar dari SMK Bachok yang diiringi oleh 8 orang guru pengiring berpeluang menyertai Program Integrasi Ilmu dan Sinergi Industri di Kompleks FINAS Petaling Jaya pagi tadi. Melalui platform pembangunan komuniti industri, program seumpama ini memberi peluang kepada generasi muda membina jaringan dua hala bersama FINAS sebagai badan peneraju kemajuan industri filem Malaysia.

Selain lawatan berpandu ke Museum of Moving Image (MOMI) yang memaparkan khazanah perfileman, para pelawat juga turut berpeluang melihat dengan lebih dekat pameran peralatan perfileman.

Melalui sesi pembentangan korporat mengenai FINAS oleh Cik Atiqah Amira Mohd Noor, Penolong Pengarah Komunikasi Korporat dan taklimat berkaitan MOMI yang disampaikan oleh En. Junaidi Reappai, Ketua Penolong Pengarah Mediatheque, para peserta telah diberi ruang untuk sesi soal jawab dan perkongsian interaktif.