Petaling Jaya, 16 Januari – Seramai 80 orang pelajar diiringi dua orang pensyarah, Puan Anisah Nasib dan Puan Aishah Mohamed Said dari Politeknik Sultan Azlan Shah Perak berpeluang menyertai Program Integrasi Ilmu dan Sinergi Industri di Kompleks FINAS Petaling Jaya pagi tadi. Melalui platform pembangunan komuniti industri, program seumpama ini memberi peluang kepada generasi muda membina jaringan dua hala bersama FINAS sebagai badan peneraju kemajuan industri filem Malaysia.

Selain lawatan berpandu ke Museum of Moving Image (MOMI) yang memaparkan khazanah perfileman, para peserta program juga turut berpeluang melihat dengan lebih dekat pameran peralatan perfileman serta berkunjung ke Negatif Room dan Makmal Warna P. Ramlee bagi mendalami pengetahuan dalam bidang restorasi dan pendigitalan kandungan.

Melalui sesi pembentangan korporat mengenai FINAS oleh Cik Khartini A Fatah, Pegawai Eksekutif Komunikasi Korporat dan taklimat berkaitan MOMI yang disampaikan oleh En. Junaidi Reappai, Ketua Penolong Pengarah Mediatheque, para peserta telah diberi ruang untuk sesi soal jawab dan perkongsian interaktif.