Bandar Hilir, 3 Ogos-YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah merasmikan sambutan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 Peringkat Kebangsaan bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih’ di padang Dataran Pahlawan, Bandar Hilir di sini, malam tadi. Dihadiri lebih 30,000 orang di padang Dataran Pahlawan yang turut menyaksikan laungan gempita ‘Merdeka’ seperti sejarah pada 20 Februari 1956 di lokasi yang sama oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman, program bersejarah yang dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Tuan Gobind Singh Deo dan Ketua Menteri Melaka YAB Tuan Hj Adly Zahari ini turut disempurnakan dengan pelepasan 62 kenderaan pelbagai jenis dalam siri jelajah Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 (KMJG19) ke seluruh Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan jarak perjalanan sejauh 6,200 kilometer, selain dimeriahkan dengan konsert, larian kemerdekaan, pameran membabitkan 37 gerai agensi kerajaan dan swasta. Turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, YBrs. En. Ahmad Idham Ahmad Nadzri, FINAS melalui Bahagian Kreatif dan Teknikal, Pemasaran dan Mediatheque turut menjayakan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini melalui penerbitan kandungan kreatif, liputan dan arkib, pameran interaktif serta program apresiasi dan pembudayaan sinema melalui kandungan kenegaraan.