Sekalung tahniah buat Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke 18 (2005), ‘Sepet’ karya hebat Allahyarhamah Yasmin Ahmad yang akan menemui penonton antarabangsa di Tokyo, Jepun apabila bakal ditayangkan secara umum di pawagam Uplink di Shibuya & Kichijoji, Tokyo bermula 11 Oktober 2019 untuk tempoh dua minggu seperti yang diumumkan melalui akaun Twitter Yasmin Films. Dibintangi Sharifah Amani, Ng Choo Seong, Ida Nerina, Harith Iskander, dan Adibah Noor, kisah cinta Orked dan Jason yang menyatukan sempadan bangsa, bahasa dan budaya ini telah ditayangkan kepada khalayak tempatan 15 tahun yang lalu bermula 24 Februari 2005. Hasil-hasil karya Yasmin terdahulunya telah diraikan dan diapresiasikan bersama khalayak antarabangsa selama sebulan dari 20-23 Ogos tahun ini di Theatre Image Forum, Shibuya, Tokyo melalui program ‘The Legendary Director Yasmin Ahmad 10th Anniversary Special Screening’ yang turut dihadiri Sharifah Amani, Sharifah Aleya, Sharifah Aleysha dan Sharifah Aryana.