Kuala Lumpur, 23 September- Di dalam meraikan intelektualisme dan perjuangan seniman dan karyawan seni dihormati, Allahyarham Khalid Salleh di dalam mengangkat tinggi ilmu, kesenian dan kesusasteraan, Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) dan Morne Art Gallery telah menganjurkan program Sepetang Merai Khalid Salleh dan pelancaran buku ‘Khalid Salleh di Mata Kami’ yang disempurnakan, Pn Hamidah Abdullah, isteri Wak Khalid di Wisma ITBM hari ini.

Program sinergi ilmu, apresiasi dan eksplorasi seni yang diterajui insan yang amat akrab dengan Wak Khalid iaitu U-Wei HjSaari, beliau telah memilih sejumlah puisi yang sememangnya istimewa dari lensa cinta, hidup dan seni dari kumpulan Aku Mahu Jadi PM terbitan ITBM yang dideklamasikan oleh Adinda Amiro, Sani Sudin, Sabri Yunus, Ken Zuraida, S.M. Zakir, Raja Ahmad Aminullah, Ladin Nuawi, Azman Hassan, Hamidah Hassan, Tam Shuhaimi, Mohd Khair Ngadiron, Yusuf Fansuri, Israr Khalid, Morne Hashim, Charissa Nur dan Melissa Alwin serta U-Wei bin HajiSaari sendiri.

Dalam majlis sama, pelancaran buku “Khalid Salleh di Mata Kami” yang menghimpunkan 37 penyumbang (antaranya Dato’ M. Nasir, Dato’ Ramli Sarip, Dato’ Lat, dan lain-lain) yang menulis tentang Khalid Salleh dari kaca mata pandangan dan pengalaman masing-masing serta Kata Pengantar yang ditulis oleh Tan Sri Johan Jaaffar ini bertujuan mengenang dan menghargai seorang seniman yang sangat akrab dengan masyarakat dan mendedikasikan seluruh hidupnya kepada kesenian dan kesusasteraan tanah air.

Majlis pelancaran buku “Khalid di Mata Kami” ini telah disempurnakan oleh isteri Allahyarham sendiri iaitu Puan Hamidah Abdullah dan dihadiri oleh YBhg. Tan Sri Johan Jaafar, Penulis Kata Pengantar Buku “Khalid di Mata Kami”, Encik Mohd Khair Ngadiron, Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, ahli keluarga Allahyarham, penggiat industri teater dan filem, rakan-rakan media dan para tetamu jemputan.