Kuala Lumpur, 28 April- Kuala Lumpur Film School (KLFS) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah menganjurkan program apresiasi filem tempatan dan ASEAN melalui sesi Bicara Filem bersama pengarah filem, U-Wei HjSaari dan tetamu undangannya, pelakon, pengarah dan karyawan industri, Melissa Saila di Kuala Lumpur Film School petang tadi dengan tayangan dan apresiasi Filem Terbaik Festival Filem Indonesia 2015 iaitu ‘Siti’ arahan Eddie Cahyono lakonan hebat Sekar Sari, Bintang Timur, Haydar Saliz, Ibnu Widodo dan Titi Dibyo.

Program sinergi ilmu dan pembangunan intelektual ini telah meneroka aspirasi, falsafah, ideologi dan nilai di sebalik karya ‘gelap’ ‘gelisah’ dan ‘kelam’ mengenai seorang wanita kelas bawahan, ‘Siti’ yang berjuang melalui emosi, cinta dan kuasanya di bawah pergelutan ‘dominant culture’ yang telah mencipta impak komunikasi dan perhubungan di sekellingnya. Bertunjangkan perspektif kacamata wanita yang mencari ‘nilai’ dan ‘makna’ kehidupannya, ‘Siti’ telah meneroka kekuasaan, emosi dan perjuangan seorang wanita di dalam mengharungi ‘kegelapan’ di dalam sebuah sistem yang penuh hitam dan putih.

Filem yang turut membawa kecemerlangan sinema Indonesia di beberapa festival antarabangsa seperti di 9th Warsaw Five Flavours Film Festival 2015, “Asian New Talent Award” Shanghai International Film Festival 2015, Singapore International Film Festival 2014 dan 19th Toronto Reel Asian International Film Festival 2015 ini turut mengangkat tema universal berkaitan persoalan hidup seperti yang pernah dinyatakan oleh Eddie di sebuah wawancara di Indonesia.

“Film Siti mengambil lokasi di daerah Bantul, di Parangtritis, Parangkusumo, dan Pantai Depok. Walaupun setting-nya tanah kelahiran saya, tapi temanya tetap universal. Ada pertanyaan mengenai; untuk siapa kita hidup? Untuk teman, saudara, keluarga atau untuk diri sendiri?”

Turut hadir di program hari ini adalah barisan karyawan filem, ahli-ahli akademik dari institut pengajian tinggi awam dan swasta, para penggiat seni, dan tetamu jemputan yang lain.