Hulu Kelang, 1 Mac – Warga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) hari ini melafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Majlis Perhimpunan FINAS Bil 1/2018 di Studio Sound Stage FINAS pagi tadi.

Lafaz Ikrar Bebas Rasuah ini telah diketuai dan dipimpin oleh YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS.

Majlis yang berlangsung itu juga turut menyaksikan Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS menandatangani surat Ikrar Bebas Rasuah mewakili warga FINAS dan menyerahkan IBR tersebut kepada Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM, Dato’ Shamsun Baharin Mohd Jamil.

Terdahulu YBhg Dato’ Fauzi Ayob turut menyampaikan amanat kepada semua penjawat FINAS untuk melaksanakan tugas dengan jujur, berdedikasi dan penuh integriti. Beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada Bahagian Pengurusan Produksi atas kemenangan dalam menjuarai Anugerah Iklan Terbaik Mengenai Malaysia di 20th Malaysia Tourism Malaysia malam tadi. Beliau juga turut mengambil kesempatan melahirkan ucapan syabas kepada 26 penjawat FINAS yang mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 (APC 2017).

Turut diadakan ialah sesi ceramah integriti bertajuk ‘Ancaman Subversif & Isu Keselamatan Masa Kini’ yang disampaikan oleh DCP Dato’ Ayob Khan bin Mydin Pitchay, KPP BHG 8 (M) – Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman. Hadir sama dalam majlis perhimpunan tersebut ialah YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan, YBrs Tuan Haji Mohd Zulkifli Ab Wahab, Timbalan Ketua Pengarah Produksi & Teknikal, pengarah-pengarah bahagian, ketua-ketua unit dan penjawat FINAS.