Kajang, 9 April – Seramai 20 orang peserta telah mengikuti bengkel intensif E-Karya: Karya Anda, Perniagaan Anda di Kolej Teknologi MEA selama 3 hari bermula 7 April sehingga 9 April 2018 anjuran Kolej Teknologi MEA dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Bertujuan untuk melahirkan lebih ramai belia yang peka dalam pengetahuan ekonomi digital dan multimedia seiring dengan keperluan Revolusi Industri 4.0, bengkel ini memberi pendedahan eksplorasi industri ekonomi digital dengan menjadikan idea kreatif sebagai pencetus perniagaan. Para peserta telah didedahkan kepada aspek-aspek penting dalam seni fotografi dan videografi melalui pengkhususan penggunaan alat telefon pintar sebagai medium yang dikendalikan oleh pakar bidang videografi, fotografi dan kesan visual khas iaitu En. Aliff Afiq Mohd. Anuar dan En. Muhammad Firdaus Hashim.

Selain itu, para peserta juga berpeluang untuk menimba ilmu keusahawanan kreatif dan platform pemasaran perniagaan digital dari wakil MDEC, En. Kamarul Bahareen dan pakar industri, En. Sahat Amin, yang mempunyai lebih dari 30 tahun pengalaman dalam bidang penyiaran.

Majlis penutup telah diserikan dengan kehadiran Pn. Shazlina, Ketua Eksekutif Kolej Teknologi MEA, Cik Siti Nor Aiysha Masarudin, Penolong Pengarah Unit Latihan Industri FINAS, barisan tenaga pengajar, jemputan lain dan para peserta bengkel.