Kuala Lumpur, 23 Oktober – MIG Production Sdn. Bhd. buat julung kalinya bekerjasama dengan produksi dari Beijing, China iaitu Shen Lan Time International Film & Culture (Beijing) Co. Ltd. dalam menerbitkan sebuah rancangan tv “Cuisine On The Silk Road” atau dalam bahasa Melayunya “Hidangan Laluan Sutera”. Program yang berkonsepkan dokumentari ini merupakan rancangan khas makanan halal yang dialih bahasa dalam bahasa Malaysia dan telah melalui proses pembikinan dan rakaman dengan menggunakan kelengkapan proses seperti penerbitan sebuah filem seperti studio, mixing, penyuntingan, colour grading dan sebagainya.

Bertepatan dengan konsep ‘one stop centre’ yang diamalkan oleh MIG dalam menerbitkan filem yang diterapkan ke dalam proses pembikinan program ini, seramai 7 orang krew produksi dari pihak Shen Lan Time diterbangkan dari Beijing bagi sama-sama menjayakan proses rakaman dan alih bahasa. “Cuisine On The Silk Road” bakal ditayangkan bermula 24 Oktober 2018, jam 11.00 malam melalui saluran 125, Astro Naura. Program 5 episod ini memaparkan kebudayaan, tradisi serta ramuan makanan halal di negara China. Setiap episod penonton akan disajikan dengan kepelbagaian serta keunikan yang dihasilkan dengan cara pembuatan yang tersendiri. Malah cara hidup masyarakat setempat serta lambakan makanan jalanan yang halal turut dipaparkan melalui rancangan ini.

Majlis pelancaran yang diadakan di GSC Signature, The Gardens ini telah disempurnakan oleh YB Hajjah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dan hadir sama pada majlis ini adalah H.E Bai Tian, Kedutaan Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Encik Shakib Ahmad Shakir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KKMM merangkap Ketua Pengarah FINAS, YBhg. Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin, Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), YBhg. Datuk Khairul Anwar Salleh, Naib Presiden dan Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, YBhg. Dato’ Haji Muhammad Chan Abdullah, pemilik Mohd Chan Food Sdn. Bhd., jemputan khas dari Kedutaan China di Malaysia, para tetamu jemputan, rakan-rakan media dan artis tempatan.