Kuala Lumpur, 14 Jun-Di dalam aspirasi pemerkasaan ekonomi kreatif melalui pembangunan harta intelek, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, YBrs. En. Ahmad Idham Ahmad Nadzri hari ini telah mengadakan kunjungan hormat dan perbincangan strategik dua hala bersama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang dihadiri Ketua Pengarah, YBhg. Dato’ Mohd. Roslan bin Mahayudin dan pihak pengurusan tertinggi MyIPO. Selain inisiatif FINAS menjana kerjasama di antara badan kerajaan (G2G) bagi aspek infrastruktur perundangan, kawal selia, sistem pentadbiran dan pengukuhan perlindungan harta intelek bagi industri filem di dalam pelan tindakan jangka panjangnya, FINAS akan memainkan peranan memperkasakan aspek dasar dan polisi menerusi ‘taskforce’ yang melibatkan sinergi pelbagai agensi. Selain itu, perbincangan turut menyentuh cadangan kerjasama strategik FINAS dan MyIPO melalui perjanjian persefahaman (MoU) di dalam pembangunan harta intelek dan juga mekanisme bagi pemerkasaan badan pelesenan atau badan kutipan royalti untuk kumpulan-kumpulan sasar di dalam kategori industri filem sebagai pemunya hak cipta.