Program “Buy The Future” siri 1/2018 yang berlangsung bermula 2 Februari hingga 11 Februari 2018 telah berjaya dilaksanakan hasil kerjasama di antara FINAS, Ikatan Seni Komuniti FELDA (ISKAF) dan Jabatan Inovasi dan Pembangunan Generasi Baharu FELDA.

Program pemacuan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan membina kreativiti seni khususnya kepada golongan belia FELDA mengenai Industri Kreatif Malaysia dalam bidang perfileman menerusi bengkel perkongsian ilmu dan sesi bersama mentor yang telah diadakan. Selain itu, program ini juga merupakan inisiatif kerajaan dalam pembangunan modal insan khususnya bagi kemajuan industri buat generasi FELDA.

Seramai 28 orang peserta yang terdiri daripada belia anak FELDA telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti di belakang tabir seperti Pengurusan Produksi, Penataan Seni, Teknikal, Kamera, Pencahayaan dan Audio, Pengarahan, Tatarias, Kesan Khas serta Keberkesanan Penggunaan Media Sosial bersama-sama dengan mentor yang terlibat iaitu Encik Azhari Zain dan Que Haidar.

Majlis Penyampaian Sijil telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Fauzi Ayob,Ketua Pengarah FINAS di Dewan Semai Bakti FELDA Jengka 25 dan turut diikuti dengan sesi pratonton telefilem Abah arahan Azahari Zain, dan persembahan nyanyian oleh Que Haidar bertajuk Kisah Cinta.

Program turut dihadiri Encik Anuar Malek, Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti FELDA, Encik Abd Khalid Maulod, Pengarah Pembangunan Industri, FINAS, Encik Jalil Hamid Presiden ISKAF, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar (Que Haidar), Penasihat ISKAF dan Tuan Haji Sulaiman Bakar, Ketua Peneroka FELDA Wilayah Jengka dan penduduk-penduduk FELDA Jengka 25.