KUALA LUMPUR, 16 Mei-YB Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah meminta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan agensi seperti FINAS dan persatuan membabitkan artis dan selebriti bekerjasama bagi menangani isu-isu berkaitan percukaian ketika berucap merasmikan program Majlis Sepetang Mesra Bersama Karyawan Seni di Le Meridien Hotel Kuala Lumpur. Selain aspek komunikasi dan fasilitasi dua hala bagi membantu anak seni yang rata-rata tidak mempunyai pendapatan tetap, beliau menyeru agar setiap isu berkaitan percukaian diselesaikan dengan diplomasi dan berhemah.

“Kelonggaran dan fleksibiliti pembayaran cukai perlu diperhalusi dan disemak melalui dialog seperti ini oleh pihak LHDN kepada karyawan seni kerana faktor pendapatan mereka yang tidak tetap”, ujarnya lagi.

Seramai 300 tetamu telah menghadiri program ini termasuklah YBhg. Datuk Sabin bin Samitah, Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, YB Dato’ Mohd Khusairi Abd Talib, Pengerusi FINAS, YBhg Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, presiden-presiden persatuan, para karyawan seni tanah air dan rakan-rakan media.