Oleh: Aidi Emizul
Gambar : Zara

 

PUTRAJAYA, 17 Jan – Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Jepun dalam bidang Penerangan dan Komunikasi telah termeterai dengan jayanya pada 17 Januari 2017 di Dewan Serbaguna Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Perjanjian persefahaman antara kedua-dua pihak itu telah ditandatangani oleh YB Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, KKMM dengan H.E Sanae Takaichi, Menteri di Kementerian Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun, turut disaksikan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad, Ketua Setiausaha KKMM dan H.E. Dr. Makio Miyagawa, Kedutaan Jepun ke Malaysia.

Kerjasama dua hala antara Malaysia-Jepun menemui kata sepakat khususnya dalam sektor informasi dan komunikasi sejagat terutamanya dalam bidang penyiaran, antara perkara yang termaktub dalam perjanjian tersebut. Sektor Pengurusan amnya yang melibatkan bidang teknologi maklumat, terutamanya sektor Information and Communication Technology (ICT) akan diperkasakan sebagai hab pengurusan terunggul yang dapat membuka banyak peluang kerja sekaligus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

‘Keselamatan siber, mobile digital wallet ,5G, dan Internet of Things (IoT)’, antara sumber teknologi maklumat yang menjadi fokus kepada pelaksanaan sistem ICT antara kedua-dua buah negara. Ini adalah jalinan kerjasama serantau yang mampu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dalam hab kandungan digital di masa depan, disamping dapat bertukar kepakaran dalam bidang tersebut antara Malaysia-Jepun.

Turut hadir bersama ialah Dato’ Mohid Mohamed, Timbalan Ketua Setiausaha KKMM, Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, delegasi kerajaan Jepun, pegawai-pegawai kerajaan dan rakan media.

© 2017 Finas Media, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia.