6 Mac 2015, Pawagam Mini P. Ramlee, FINAS – Program Mastertalk Cinematography yang dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Industri menerusi Unit Latihan Industri dengan kerjasama MySC (Malaysian Society of Cinematographers) telah diadakan dengan jayanya, bermula jam 9:00 pagi hingga 6:00 petang. Program ini telah dihadiri seramai 200 orang yang terdiri daripada penggiat seni, pelajar IPTA/IPTS dan juga individu awam telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) FINAS, Puan Khalidah Mohd Darus..

Sesi bual bicara yang pertama bertajuk ’Pre-Conception of Cinematography Through Location and Art Direction’ disampaikan oleh seorang Penerbit, Pengarah dan Penulis Skrip yang terkenal dari Indonesia, Riri Riza, yang mana antara karya-karya beliau yang terkenal ialah seperti Sokola Rimba, Laskar Pelangi, Atambua 39° Celcius dan banyak lagi. Seterusnya sesi kedua bual bicara bertajuk ’Bertutur Dengan Kamera’ disampaikan oleh Nur Hidayat, seorang Pengarah Sinematografi terkenal dari Indonesia. Antara hasil karya beliau ialah seperti Bulan Tertusuk Ilalang, Daun Diatas Bantal, Jamila dan Presiden. Manakala pada sesi bual bicara yang terakhir disampaikan oleh Yudi Datau yang juga merupakan seorang Pengarah Sinematografi terkenal dari Indonesia menerusi karya-karya beliau seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Supernova dan Gie membicarakan tentang ’Proses Kreatif Seorang Sinematografer’.

Program Mastertalk Cinematography ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan dan pelbagai persoalan telah diajukan kepada para ahli panel sepanjang sesi bual bicara tersebut berlangsung.

Oleh :  Unit Latihan Industri
Foto  :  Shahriman Jimin