Petaling Jaya, 30 Oktober – Mengisahkan tujuh orang sahabat yang menghabiskan cuti semester di sebuah banglo sehingga mencetuskan konflik yang tragis apabila berakhir dengan kematian, filem 7UJUH bergenre seram-thriller terbitan Primeworks Studios ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 8 November nanti.

Selain diterajui penampilan khas Wan Hanafi Su dan Faizal Hussein, filem ini turut dibintangi pelakon seperti Johan As’ari, Pekin Ibrahim, Aeril Zafrel, Siti Saleha, Christina Suzanne dan Marsha Milan. Filem arahan Raja Mukhriz Raja Ahmed Kamaruddin ini menjalani penggambaran di Cameron Highlands, Pahang dan mengambil masa 35 hari untuk disiapkan. Aku Bersumpah nyanyian Marsha merupakan lagu rasmi filem ini juga bakal dipersembahkan buat pertama kalinya di Anugerah Skrin 2018 nanti.

Hadir sama dalam majlis tayangan perdana yang diadakan di mmcineplexes Ecurve, Damansara malam tadi ialah penerbit, pengarah, barisan tenaga produksi, para pelakon dan rakan-rakan media.