Tahniah buat tiga filem Malaysia yang terpilih sebagai ‘Official Selection’ di 29th Singapore International Film Festival (SGIFF) yang akan berlangsung dari 28 November-9 Disember 2018 ini.

●One Two Jaga/Nam Ron (2018)-Terpilih sebagai ‘Official Selection’ di bawah kategori Asian Vision untuk tayangan filem-filem terbaik dengan kekuatan cerita dan sinematik berlanskapkan Asia oleh para pembikin berpengaruh dari rantau ini, filem arahan Nam Ron yang dibintangi Zahiril Adzim, Rosdeen Suboh, Amerul Affendi, Iedil Putra, Chew Kin Wah serta bintang Indonesia, Ario Bayu dan Asmara Abigail dan ramai lagi ini meneroka sisi gelap berkaitan rasuah, korupsi dan jenayah serta konflik kemanusiaan sejagat yang menghantui masyarakat. Terdahulunya, filem ini telah menembusi pencalonan akhir Filem Cereka Terbaik di 17th New York Asian Film Festival 2018 dan Grand Prix (Filem Terbaik Asia) di 12th Five Flavours Asian Film Festival di Warsaw, Poland selain ‘Official Selection’ di 21st Shanghai International Film Festival (SIFF), China, 20th Udine Far East Film Festival, Itali dan Fukuoka International Film Festival 2018.

●Sepet/Yasmin Ahmad (2004)- Nostalgia bingkisan kasih ‘Orked’ dan ‘Jason’ lakonan Sharifah Amani dan Ng Choo Seong yang melatari filem ikonik Allahyarhamah Yasmin Ahmad iaitu ‘Sepet’ turut diraikan di SGIFF tahun ini sebagai ‘Official Selection’ di bawah kategori ‘Classics’ yang meraikan filem-filem yang mencipta magis dari Korea Utara, Malaysia, Thailand dan Amerika Syarikat. Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke 18 ini telah menembusi lebih 15 buah festival filem antarabangsa dan pernah memenangi Filem Terbaik Asia di Tokyo International Film Festival 2005 dan Filem Terbaik 27th Creteil International Women Festival, Perancis pada tahun yang sama.

●Filem High Way/Darrel Chia Chee Sum (2017)- Kecemerlangam pembikin filem muda, Darrel Chia Chee Sum menerusi filem pendek ‘High Way’ mengenai kembara pemuda yang ingin mencapai misinya ini terus membawa tuah di SGIFF apabila terpilih di bawah bertanding (In Competition) di bawah kategori Southeast Asian Short Film Competition (Silver Screen Awards). Menerusi ‘High Way’, alumni Asian Film Academy ini telah memenangi 3 anugerah pada tahun ini di 35th Busan International Short Film Festival, Korea (Anugerah Khas Juri) dan 2nd Southeast Asia Shorts Film Festival (Seashorts) di Pulau Pinang menerusi pencapaian untuk kategori Best New Wave dan Best Achievement in Post Production.

Tahun lalu di 28th Singapore International Film Festival, Malaysia telah diwakili oleh filem Shuttle Life/Tan Seng Kiat dan Aqerat/Edmund Yeo untuk filem cereka dan kategori filem pendek diwakili Lagi Senang Jaga Sekandang Lembu/Amanda Nell Eu serta Kampung Tapir/Aw See Wee.

sgiff 1