Filem arahan Nam Ron, ‘Crossroads: One Two Jaga’ yang terpilih mewakili Malaysia sebagai ‘official selection’ di 21st Shanghai International Film Festival (SIFF) di China yang kini berlangsung dari 16-25 Jun 2018 turut meneroka pengukuhan platform jaringan sinema Malaysia dan global melalui penyertaan di dalam komponen program ‘The Belt and The Road Week’ di festival tersebut. Nam Ron yang turut diundang di program tersebut menerusi topik ‘How Films Changed His Life’ telah berkongsi aspirasi, perjuangan, falsafah dan nilai sinema menerusi perspektif dan kacamatanya secara langsung bersama para hadirin.

Diwakili Nam Ron (Pengarah), Bront Palarae (Penerbit), Joanne Goh (Penerbit) dan Chew Kin Wah (Pelakon) bagi mempromosikan filem tersebut selain menjana sinergi dua hala bersama delegasi antarabangsa melalui jaringan kerjasama global (Belt & Road Initiative) yang disertai 31 buah penganjur festival antarabangsa di seluruh dunia mewakili 29 buah negara seperti Cairo International Film Festival, Warsaw International Film Festival, Moscow International Film Festival dan Malaysia International Film Festival & Malaysia Golden Global Awards, platform ‘The Belt and The Road Week’ ini merupakan landasan strategik yang diperkenalkan bagi memperkasakan potensi kerjasama produksi, jaringan pemasaran dan pelaburan antarabangsa, ekonomi kreatif dan pembangunan seni budaya melalui jaringan sinema dunia.

Selepas menembusi Udine Far East Film Festival di Itali dan Shanghai International Film Festival, filem ‘One Two Jaga’ bakal menjelajah di 17th New York Asian Film Festival, Amerika Syarikat dari 29 Jun-15 Julai 2018 ini di mana ianya turut diumumkan penganjur sebagai salah satu dari tujuh buah filem Asia yang bersaing bagi kategori Filem Cereka Terbaik (Tiger Uncaged Award). Filem yang dibintangi Zahiril Adzim, Rosdeen Suboh, Amerul Affendi, Iedil Putra, Chew Kin Wah serta bintang Indonesia, Ario Bayu dan Asmara Abigail dan ramai lagi ini meneroka sisi gelap berkaitan rasuah, korupsi dan jenayah serta konflik kemanusiaan sejagat yang menghantui masyarakat.

#OneTwoJaga
#SIFF2018
#OfficialSelection
#TheBeltandTheRoadWeek

Kredit Foto: Joanne Goh