Kota Kinabalu, 29 Julai – YB. Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia pagi ini telah merasmikan Majlis Perasmian Penutup ‘Program Cinta Negaraku, Bikin Filem Pendek’ yang berlangsung di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS). Program di bawah platform pembangunan modal insan bagi membina generasi muda yang kritis dan kreatif ini adalah di bawah kerjasama strategik Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bersama Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu.

“Peranan filem bagi melahirkan semangat cintakan negara adalah amat signifikan buat generasi muda dengan membina daya kreativiti dan semangat perpaduan sebagai rakyat Malaysia” ujar YB Menteri di dalam ucapannya yang turut menyentuh usaha berterusan pihak Kementerian melalui FINAS membangunkan komuniti di Sabah melalui program-program pembangunan modal insan dan jaringan industri untuk semua peringkat di bawah peruntukan Rancangan Malaysia ke 11 (RMK11).

Berlangsung dari 18-21 Julai yang lalu melalui penyertaan para pelajar dari 10 buah sekolah menengah di sekitar daerah Kota Kinabalu, Sabah melalui modul interaktif penerbitan filem pendek, para pemenang telah menerima sijil dan hadiah yang disampaikan YB Menteri iaitu:

Tempat Pertama – SM Tinggi Kota Kinabalu
Tempat Kedua – SMK Likas
Tempat Ketiga – SM All Saints,
Tempat Keempat – SMK Lok Yuk
Tempat Kelima – SMK Kolombong,

Turut hadir bersama YBhg. Datin Seri Datuk Raya Erom, isteri kepada YB Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YB Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib, Pengerusi Finas, Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah Finas, Dato Azmir Saifudin Mutalib, Timbalan Ketua Pengarah Finas, Datuk Deddy M.Borhan, Penasihat Industri Kreatif Sabah dan Sarawak, Prof Dr Ismail Ali, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Alumni Mewakili Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, YBrs. Encik Umin Haji Sadi, Pengarah Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, YBrs. Encik Mohd Zulkifli Wahab, Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Finas & YBhg. Prof Dr. Ismail Ibrahim, Dekan Fakulti Kemanusiaan Seni Dan Warisan UMS, para pelajar dan pihak media.