Biarpun subjek fokusnya mengenai dunia autisme dari perspektif pengalaman sebuah keluarga di Malaysia, ia mampu menghubungkan manusia dari pelbagai latarbelakang dan negara biarpun berbeza budaya, bangsa dan agamanya. Redha, karya unggul Tunku Mona Riza pengarah wanita yang berjaya memenangi 7 anugerah di festival filem antarabangsa pada tahun 2016 ini telah mewujudkan satu jaringan perkongsian ilmu bersama penonton seperti di Minds Film Festival 2017 di Singapura pada 5 Ogos yang lalu.

Menurut Mona yang disertai suaminya, Ku Mohamad Haris yang juga penerbit filem Redha, sesi Q & A filem adalah platform terbaik bagi meneroka maklumbalas dan membina pemahaman berkaitan proses pembikinan, ideologi, falsafah dan impak filem kepada penonton. ‘Secara jujurnya, saya akan gementar setiap kali tayangan, kita tidak boleh menjangka penerimaan penonton yang perlu berhubung dengan visual dan emosi di dalam dunia ‘autisme’ ini dan kerana itu, bahasa filemnya perlu bersifat universal’ tambah Mona mengenai sesi tayangan filem yang dianjurkan Singapore Film Society dan MINDS ini.