FINAS merakamkan ucapan tahniah buat filem Redha (2016) arahan Tunku Mona Riza yang terpilih sebagai ‘Official Selection’ di CinemAutismo Film Festival 2019 yang berlangsung pada bulan April dan Mei ini di Turin, Itali anjuran National Cinema Museum Association (AMNC), Itali. Bakal ditayangkan di tiga buah lokasi pada 6 & 13 April serta 3 Mei 2019, festival yang bertujuan meneroka karya berkualiti seluruh dunia berteraskan subjek mengenai autisme melalui medium sinema, terdahulunya, filem ini telah merangkul 11 anugerah di pelbagai festival filem antarabangsa dari tahun 2016.

‘Redha’ ataupun ‘Beautiful Pain’ terbitan Current Pictures Sdn Bhd dengan lakonan hebat Nam Ron (Pelakon Lelaki Terbaik FFM29), June Lojong (Pelakon Wanita Harapan FFM29) , Nadiya Nisaa, Remy Ishak, Adik Harith Hadziq (Pelakon Kanak-Kanak Terbaik FFM29), Izzy Reef, Ruminah Sidek, Susan Lankester dan ramai lagi ini berinspirasikan kisah sebenar mengenai perjuangan, pengorbanan dan kasih sayang ibu bapa dan keluarga di dalam membesarkan anak istimewa yang menghidap autisme.

1

2