Kuching, 16 September – Di dalam menjana pembangunan komuniti filem melalui jaringan sinergi industri, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) hari ini menyertai program Majlis Pelancaran Raikan Malaysiaku ‘My Merdeka’ yang telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sarawak di Pusat Membeli Belah Mydin, Petrajaya, Kuching Sarawak.

Melalui platform pameran kreatif oleh agensi-agensi dan rakan strategik, FINAS telah menyediakan program-program menarik seperti ‘Intra-Sinema’ iaitu tayangan filem cereka tempatan Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior dan ‘Retrospektif Sinema’ melalui perkongsian filem-filem dokumentari merentas masa mengenai sejarah negara, ‘FilmNovaTech’ iaitu pameran audiovisual kandungan dengan teknologi restorasi dan pendigitalan, ‘EkplorasiSINEMA & SINEMAKlopedia’ yang memberi ruang pengunjung meneroka sejarah dan ekosistem industri filem negara dengan sesi eksplorasi minda dan ilmu, kuiz dan permainan interaktif, ‘ ‘PromoSinema’ yang mempromosikan filem-filem tempatan terbaharu di pawagam iaitu #HantuKakLimah, #Munafik2 #OneTwoJaga dan #RISEIniKalilah selain solidariti ‘Ini Sinemaku’ bagi sokongan masyarakat kepada sinema Malaysia dan kempen “TontonORIJanganCURI” sebagai alternatif kepada usaha membanteras cetak rompak digital, muatturun haram dan serta rakaman langsung di panggung, ‘BakatSkrin’ sebagai platform mencungkil potensi kreativiti pengunjung secara spontan melalui elemen ‘penulisan’, ‘pengarahan’ dan ‘lakonan’ di dalam sketsa pendek dan ‘SembangSKRIN’ iaitu program perkongsian ilmu dan di sebalik tabir sinema bersama karyawan jemputan iaitu pelakon filem CEO dan Buskers iaitu Anas Ridzuan.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah YBhg. Dato’ Mohd Sukari Ab. Hamid, Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), ketua-ketua jabatan dan agensi, komuniti setempat dan belia.