Oleh: Ahmad Syazli Muhd Khiar

25 tahun figura kelahiran Batu Pahat, Johor di belakang tabir ini telah berjaya menjadi sebahagian daripada kehidupan para penonton tegar drama-drama Melayu dengan jentikan emosi sedih, gembira, takut dan sayang yang menjadi refleksi realisme sosio-budaya masyarakat yang diterjemahkan di layar televisyen. Siapa boleh menidakkan fenomena Mat Despatch, Tanah Kubur, Pondok Buruk, Sekeras Kerikil, Dalam Hati Ada Cinta, Pengantin Popular, Takbir Suci, Daun Ketupat Kering, Hanya Dikau, Cik Mala Janda Berhias, Seri Pengantin, Salina, Kutub Utara, Kutub Selatan, Bertaut di Jabal Rahmah ataupun Rumah di Tengah Sawah yang berjaya menjulang pengarah, penulis dan penerbit tersohor, Rashid Sibir yang menjadi suatu jenama yang sangat dekat dengan penonton kita khususnya drama meruntun jiwa dan mencipta keinsafan. Menemui beliau di Program Sesi Perkongsian Ilmu Pengarahan anjuran Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dengan kerjasama FINAS pada 19 November 2016 telah memberikan ruang buat beliau berkongsi pengalaman sebagai insan seni dan perspektif terhadap industri drama dan filem tanahair.

Dari Pembancuh Minuman Sehingga Ke Kerusi Sutradara
“Biarpun mempunyai Ijazah Sarjana Muda (Penyiaran) UiTM, itu bukan alasan untuk belajar dari bawah bila berada di dunia seni sebenar, ini yang membentuk siapa kita sebab di dalam set, semua pekerjaan adalah mustahak” ujar Rashid yang pernah menjadi di antaranya pembancuh minuman, handyman, pengarah dubbing, penolong pengarah, editor dan pengurus produksi sebelum diberi kepercayaan menduduki kerusi pengarah. Berpeluang menjalani praktikal di syarikat produksi milik Habsah Hassan, Serangkai Filem memberi peluang terbesar buat beliau menyertai pasukan filem Hati Bukan Kristal arahan Raja Ahmad Alaudin yang kemudiannya membolot 6 anugerah di Festival Filem Malaysia ke 9.

Pengalaman yang ditimbanya terus memberikan ruang untuk berkarya dengan skrip sendiri berjudul Persinggahan Abadi yang dipandang rendah oleh produser hanya kerana tidak mempunyai nama yang kukuh.“Saya beruntung kerana mendapat kepercayaan daripada Azimah Advertising yang yakin menerbitkan drama Persinggahan Abadi lakonan Susan Lancaster dan Shaharuddin Thamby merupakan drama pertama arahan saya pada 1993” ujar Rashid yang terus diberi kepercayaan mengarah filem pertamanya, Sutera Putih lakonan Shima dan Boney Sta Maria dan membolot empat anugerah termasuk Pengarah Harapan buat dirinya di Festival Filem Malaysia ke 12. Laila Isabela, Cinta Luar Biasa dan Awan Dania merupakan filem-filem yang telah menerima sentuhannya.

Antara Airmata, Ketawa dan Maut

Rashid Sibir acapkali dilabel “Pengarah Airmata” kerana menghasilkan karya yang meruntun jiwa penonton dengan kisah-kisah bertunjangkan kekeluargaan dan kasih sayang selain gemar memberi titik “maut ” iaitu penamat kepada watak-watak sebagai pengajaran halus kepada penonton. Jelasnya, “Saya lahir dari keluarga yang susah dan kesusahan itu mendidik saya untuk menerokai nilai-nilai kehidupan yang semakin dilupakan masyarakat; betapa pentingnya nilai kasih sayang dan kekeluargaan ini yang menjadi jambatan kita ke syurga. Tambah beliau lagi, “Idea hasilkan Sekeras Kerikil, misalnya, saya terapkan pengalaman saya menjaga arwah bapa yang menggunakan kerusi roda,’’ kata anak ke-11 daripada 13 beradik ini.

“Karya saya sedikit sebanyak memberi peluang kepada penonton mencari di mana akar dan tanah tempat kita berpijak supaya terus teguh”. Rashid sendiri menyifatkan kepentingan “maut” itu sebagai realiti pengakhiran sesebuah kehidupan yang berdiri di atas dua paksi, baik atau buruk dan ia merangsang kepada nilai keinsafan, tanggungjawab sosial dan dakwah sebagai seorang pengkarya.

Berpengalaman menulis skrip untuk sitkom 2+1 dan Pi Mai Pi Mai Tang Tu, karya bernuansa komedi situasi juga menjadi makanan pengarah ini selain karya-karya berat yang menjadi signaturenya. “Jika komedi ceritanya, seluruh set dan pasukan mesti secara semulajadinya dipenuhi suasana gelak ketawa supaya mood dan impak ini sampai kepada mereka yang menonton tanpa dibuat-dibuat” jelas Rashid lagi yang percaya setiap naskhah harus dibikin dengan emosi yang betul dan tepat.

Me”RASHIDKAN” Bintang-Bintang Seni
Tidak dinafikan, penjenamaan karya-karya Rashid Sibir turut disumbang bintang-bintang yang mencipta magis lakonan mereka di bawah karya beliau. Siapa boleh lupa gandingan Fauziah Ahmad Daud dan Erma Fatima (Pengantin Popular), Fauziah Nawi dan Allayarham Ismail Din (Pondok Buruk), Raja Azura, Rusdi Ramli, Sharifah Shahira, Amyza Aznan (Mat Despatch), Dato’ Rosyam Nor dan Nasha Aziz ( Laila Isabella), Ida Nerina dan Ellie Suriaty (Cantiknya Buruk), Umie Aida dan Ako Mustapha (Dalam Hati Ada Cinta), Norlia Ghani dan Eman Manan (Mencari Syurga), Jalil Hamid dan Dato’ Rosyam Nor (Sekeras Kerikil), Allahyarhamah Azean Irdawaty dan Allahyarham M. Rajoli (Tanah Kubur) dan tentunya jenama Tok Adi (Nasir Bilal Khan) yang cukup melekat di hati penonton selama ini selain gandingan segar Nasha Aziz, Adibah Noor dan Ziana Zain di dalam telemovie Mati Tunggu Sekejap yang ditayangkan di Astro baru-baru ini. Terlalu ramai bintang-bintang hebat pernah bekerja dengan pengarah yang mengangumi Allayarham Tan Sri P. Ramlee ini termasuklah para seniman dan seniwati lagenda Jalan Ampas dan Hulu Kelang seperti Allahyarhamah Mariani, Allahyarham Dato’ Aziz Sattar, Allahyarham Dato’ Mahmud June, Dato’ Rosnani Jamil, Dato’ Sarimah Ahmad, Ruminah Sidek, Norlia Ghani dan Sofia Ibrahim yang disifatkan Rashid sebagai kumpulan aktor yang sungguh berdisplin dan komited dengan seni mereka. Diminta menceritakan pengalaman bekerja dengan bintang-bintang hebat ini, Rashid menjelaskan, “saya senang bekerja dengan insan-insan seni hebat ini kerana mereka sungguh berdisplin dan berilmu dengan kerja mereka, sebagai pengarah saya hanya perlu mencorak, mengawal dan mencantikkan lagi hasil yang diberikan dan saya pastinya faham cara dan kehendak mereka supaya proses penggambaran berjalan lancar” ujarnya yang menekankan konsep kekeluargaan dan silaturahim di antara ahli pasukan bagi mewujudkan keselesaan.

Sentuhan Rashid buat barisan bintang baru dengan menggilap bakat dan memberi peluang mereka berlakon di dalam karya-karyanya di awal kemunculan mereka di dalam industri juga telah banyak menaikkan nama-nama seperti Shaheizy Sam, Aaron Aziz, Fizo Omar, Nabila Huda, Kamal Adli, Norman Hakim, Hairie Othman, Fahrin Ahmad, Ako Mustapha, Fazura, Rita Rudaini, Norkhiriah, Saharul Ridzwan, Shukri Yahaya, Nora Danish, Pekin Ibrahim, Aqasha dan ramai lagi.
Cabaran dan Harapan Industri