Kuala Lumpur, 25 Ogos- Dua buah filem tempatan, ‘Adiwiraku’ dan ‘Interchange’ menggalas cabaran negara apabila tercalon di dalam tiga kategori di Festival Filem Asia Pasifik ke 58 (APFF58) yang dijangka diumumkan pada 1 September di Taiwan pada tahun ini. Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke 29 (FFM29), ‘Adiwiraku’ arahan Eric Ong yang berinspirasikan perjuangan seorang guru di sekolah luar bandar yang membantu para pelajarnya membina keyakinan diri melalui pertandingan ‘Choral Speaking’ telah berjaya menembusi pencalonan akhir bagi kategori Cerita Asal Terbaik untuk Jason Chong yang juga pemenang bagi kategori yang sama di FFM29 yang lalu. Adiwiraku bakal bersaing dengan filem The Wind Beneath Us/Sri Lanka, The Way Station/Vietnam, Leaf of Life/Iran dan The Mother/Mongolia.

Sementara itu, filem noir thriller ‘Interchange’ karya Pengarah Terbaik FFM29, Dain Said telah tercalon bagi kategori Penataan Bunyi Terbaik bersama-sama Birdshot/Filipina, The Tag Along 2/Taiwan, The Right to Kill/Filipina dan Respeto/Filipina selain kategori Kesan Khas Visual Terbaik dengan empat calon akhir iaitu Jungle/Australia, The Tag Along 2/Taiwan, Villa Dwellers/Iran dan The Soul of Himalaya/China.

Penyertaan Malaysia di festival filem antarabangsa yang dianjurkan semenjak tahun 1954 ini adalah selaras dengan keahlian Malaysia melalui Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) di dalam Badan Penerbit Filem Cereka Asia Pasifik yang dianggotai 23 buah negara yang lain di rantau Asia Pasifik sebagai platform jaringan perhubungan antarabangsa, pemasaran dan promosi, dasar dan polisi serta pembangunan sinema. Tahun lalu, Malaysia berjaya meraih anugerah Pengarah Terbaik buat Syamsul Yusof untuk filem Munafik dan Penyunting Terbaik untuk Gwyneth Lee bagi filem Ola Bola di mana dari penganjuran edisi pertama sehingga ke APFF 57, filem-filem Malaysia telah meraih sejumlah 55 buah anugerah

apff 1