Petaling Jaya, 14 Feb – Seramai 40 peserta daripada Persatuan Ketua-Ketua Kampung Parlimen Tanjong Malim, Perak yang diketuai oleh Yang Berusaha, En. Safuan Khamis telah berpeluang menyertai lawatan industri ke FINAS Petaling Jaya. Program sinergi industri dan komuniti luar bandar ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan makluman berkaitan Museum of Moving Image (MOMI), Mediatheque dan E-Heritage selain daripada perkongsian maklumat berkaitan fungsi FINAS dalam memajukan industri kreatif negara.

Dalam ucapannya, YB Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib, Pengerusi FINAS, beliau turut menyatakan “Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh FINAS dalam membantu karyawan serta penggiat industri melalui fungsi strategik pembangunan modal insan, infrastruktur, dana dan insentif, pemasaran, promosi, pembangunan komuniti kreatif, merakyatkan filem tempatan dan lain-lain.” Peserta lawatan turut sama berkongsi pengalaman dan eksplorasi bakat bersama pelakon Liza Abdullah yang telah berkecimpung selama 37 tahun di dalam industri seni tanahair.