Hulu Kelang, 12 Oktober – Satu majlis sidang media berkaitan ‘Skop Productions Ambil Tindakan Drastik Pelanggaran Hak Cipta Filem ‘Munafik 2’ telah diadakan di Concourse Mixstage, FINAS petang tadi.

Datuk Yusof Haslam, Pengarah Urusan Skop Productions Sdn Bhd dan Syamsul Yusof, Pengarah filem Munafik 2 telah mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak yang telah melanggar hakcipta filem tersebut dengan memuatnaik (upload) di laman media sosial facebook dan instagram melalui akaun profil Sasuke Kun dan @muhammad_izwan_shah. Filem tersebut kemudiannya telah tersebar luas dan dikongsi hingga beberapa laman media sosial untuk tontonan umum.

Pihak Skop Productions Sdn Bhd juga telah membuat aduan ini kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia (KPDNKK) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut disamping satu guaman sivil dan permohonan injuksi turut difailkan terhadap pihak yang terbabit. Jika disabit kesalahan pihak terbabit boleh dituduh di bawah kesalahan Seksyen 41 (1) Akta Hak Cipta 1987, kerana memiliki salinan karya-karya hakcipta yang telah dibuat dan/atau diterbitkan semula tanpa pemberikuasaan, persetujuaan atau kebenaran oleh pemilik hakcipta.

Selain Datuk Yusof dan Syamsul, hadir bersama dalam majlis sidang media barisan pelakon filem Munafik 2, Mawi, Fauzi Nawawi dan Nasir Bilal Khan.