Damansara, 27 Ogos – Selepas menempa pelbagai kejayaan dalam filem Munafik, Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke 57, Syamsul Yusof kembali membawa kesinambungan filem ini melalui garapan sekual filem Munafik 2. Mengangkat kisah seram yang menyentuh elemen keagamaan, filem terbitan Skop Production Sdn Bhd ini mengekalkan pelakon utama iaitu Syamsul Yusof sebagai Adam yang menggandingkan beliau bersama Pelakon Wanita Terbaik FFM21 dan FFM25, Maya Karin bersama-sama Datuk Fizz Fairuz, Nasir Bilal Khan, Datuk Rahim Razali, dan Mawi serta pelakon Indonesia, Weni Panca. Bakal menemui penonton tempatan di seluruh negara bermula 30 Ogos 2018, filem ini juga bakal menembusi pawagam di beberapa buah negara Asia Tenggara seperti Thailand, Vietnam, Kemboja dan Indonesia.

Malam Gala Filem Munafik 2 yang berlangsung di mmCineplexes, Petaling Jaya malam tadi telah dihadiri YB Tuan Eddin Seth, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tuan Shakib Ahmad Syakir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKMM, YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, penerbit, para karyawan, penggiat industri dan rakan-rakan media.