Kuala Lumpur, 16 September – Bersempena sambutan Hari Malaysia 2018, Galeri Petronas dengan kerjasama strategik Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM telah menganjurkan program pembangunan ilmu dan apresiasi sinema dengan menampilkan Filem Terbaik Malaysia FFM28, ‘Jagat’ arahan Pengarah Harapan FFM28, Shanjhey Kumar Perumal yang turut hadir bagi sesi perkongsian ilmu dan apresiasi sejurus tayangan di Galeri Petronas, KLCC petang tadi.

Filem ini yang telah dikupas secara ilmiah daripada perspektif pembikinan dan pengarahan, falsafah, cabaran, aspirasi dan impak kepada penonton telah dikendalikan moderator yang merupakan Editor Dewan Bahasa dan Pustaka, penulis serta pengkritik filem En. Muhammad Fadli Al-Akiti bersama-sama panelis jemputan Dr. Norman Yusoff, Ketua Program Pasca Siswazah, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FITA) UiTM serta Shanjhey.

Filem ‘Jagat’ yang juga telah menyertai lebih 20 buah festival filem antarabangsa ini mengisahkan hitam putih perjalanan, harapan dan perjuangan masyarakat India melalui kacamata dan naratif seorang budak Appoy, ahli keluarga dan manusia-manusia di sekelilingnya yang berhadapan dengan konflik dan pemberontakan emosi di bawah aturan sistem yang perlu diharungi. ‘Jagat’ secara halus juga bercerita mengenai cabaran komuniti yang dipinggirkan bagi berjuang mendepani isu urbanisasi, modernisasi, sosio ekonomi, pendidikan, asimilasi dan akulturasi budaya.