Kuala Lumpur, 13 Oktober – Kuala Lumpur Film School (KLFS) dengan kerjasama Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berkerjasama dalam menganjurkan program perkongsian ilmu dan pembangunan apresiasi sinema melalui program Bicara Filem KLSF: Perspektif Pembikin Filem (Siri Pengarahan Filem) yang diterajui oleh pengarah dan karyawan filem, U-Wei Hj Saari di KLFS, Wangsa Melawati.

Menampilkan filem “Mrs. K” arahan Ho Yuhang yang turut hadir bagi sesi perkongsian ilmu dan apresiasi sejurus tayangan, filem ini telah dikupas secara ilmiah daripada perspektif pembikinan dan pengarahan, falsafah, cabaran, aspirasi dan impak kepada penonton.

Filem aksi kantonis ini telah menyertai beberapa siri festival filem peringkat antarabangsa dan telah memenangi Anugerah Khas, Lucky Cat Honor Award di 14th Asian Summer Film Festival (Sepanyol), Anugerah Penata Seni dan Anugerah Penyunting Terbaik di 12th Chinese Young Generation Film Forum (Wuhan, China). Filem terbitan Red Films Sdn. Bhd. dan Paperheart Sdn. Bhd. ini dibarisi pelakon hebat Kara Hui, Simon Yam, Wu Bai, Faizal Hussein dan ramai lagi.

Hadir pada program Bicara Filem adalah para karyawan filem dan penggiat industri, pensyarah dan pelajar perfileman serta pencinta filem.